Meor Abdullah

Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Perjuangan skuad futsal negara untuk mara dengan lebih jauh dalam Kejuaraan Futsal AFF 2022 kian pudar apabila tunduk 1-5 ditangan Indonesia pada aksi yang berlangsung di Stadium Tertutup Huamark, Bangkok sebentar tadi.

Perlawanan yang merupakan penentu kepada perjuangan kedua-dua pasukan untuk mara ke separuh itu memperlihatkan corak permainan pantas dijelmakan sebaik sahaja wisel permulaan ditiup pengadil dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), Fahad Badir Alhosaini.

Indonesia memulakan aksi dengan bertenaga apabila mengasak kubu skuad negara menerusi rembatan jarak dekat Holypaul Septinus Soumilena.

Namun, Syawal Sabaruddin diberikan tanggungjawab mengawal gawang skuad negara pantas menghalang percubaan penjaring terbanyak Liga Futsal Pro Indonesia itu.

Anak buah Chiew Chun Yong kemudiannya tampil dengan lebih baik apabila mendapat dua peluang terbaik menerusi Saiful Nizam Mohd Ali dan Khairul Effendy Bahrin, tetapi penjaga gol Indonesia, Muhammad Albagir lebih bersedia untuk menafikan usaha tersebut.

Kredit Foto: FAM

Syawal terus bertindak cemerlang apabila beliau menafikan ancaman berbahaya diberikan Dewa Rizki Amanda dan Soumilena dalam kawasan D dalam tempoh dua minit.

Ketika perlawanan semakin menarik untuk disaksikan, Khairul Effendy terlepas dua peluang terbaik untuk meletakkan skuad futsal di hadapan selepas rembatannya ditepis Albagir pada minit ke-13 manakala percubaannya berselang seminit kemudian sekadar singgah di tiang gol.

Kedudukan akhirnya berubah pada minit ke-21 apabila Soumilena yang berjaya melepasi kawalan Abu Haniffa Hassan meledakkan rembatan sekali gus menewaskan Syawal untuk meletakkan Indonesia di hadapan.

Kelebihan itu bagaimanapun hanya mampu bertahan seminit sahaja selepas Ridzwan Bakri yang tidak dikawal pemain lawan mudah menolak masuk bola hasil hantaran lintang berkualiti dilakukan Saiful Nizam.

Ketika keadaan semakin genting, Indonesia menggunakan kesempatan susulan situasi sepakan sudut apabila dua jaringan berjaya diledakkan menerusi Firman Adriansyah [minit ke-29] dan Soumilena [minit ke-35].

Malaysia yang tertekan untuk mendapatkan jaringan dihukum dengan dua lagi jaringan oleh Ardiansyah Nur sekali gus menghadiahkan kemenangan bermakna buat skuad kendalian Muhammad Hashemzadeh itu.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Kejuaraan Futsal AFF 2022:

Futsal AFF 2022: Australia Bangkit Di Babak Kedua Untuk Atasi Timor Leste

Futsal AFF 2022: Vietnam Gagal Pamer Belang, Sekadar Terikat Dengan Myanmar

Futsal AFF 2022: Tanpa Belas Kasihan, Thailand Belasah Kemboja 16-0

 

© 2022 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group