Laman web antarabangsa, Footy Headlines mengejutkan para peminat bola sepak tempatan apabila meletakkan jersi juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam senarai kit terburuk pada bulan Februari 2023.

Syarikat sukan terkemuka dunia, Nike masih meneruskan tajaannya kepada JDT untuk musim kesembilan sejak 2014, jersi skuad Harimau Selatan kali ini tampil dengan kelainan dengan tema ‘Elevate The Game’.

Jersi ‘Home’ JDT mempunyai corak ‘camouflage’ sambil mengekalkan warna identiti bendera Johor iaitu merah dan biru. Terdapat juga ‘collar’ pada bahagian leher jersi ini.

Bagaimanapun, penulis laman Footy Headlines berpendapat rekaan tersebut merupakan kombinasi yang kurang menarik dan membuka peluang kepada peminat bola sepak dari seluruh dunia untuk mengundi rekaan jersi mana yang paling buruk pada bulan Februari.

Antara jersi pasukan lain yang turut berada dalam senarai 20 jersi terburuk pilihan Footy Headlines ialah jersi skuad kebangsaan wanita Filipina, Toronto FC, ST Louis City, Basel, Atletico Nacional, RB Leipzig, SC International dan juga jersi kelab gegasi Jepun, Urawa Red Diamonds.

9 jersi dalam senarai ini adalah daripada jenama Adidas dan 5 jersi mewakili jenama daripada Nike. Malah, 2 jersi daripada jenama Macron juga disenaraikan bersama jenama yang kurang popular seperti Stanno, Tempo Sport dan Uhlsport.

Bagaimanapun, jersi tercantik bukanlah keutamaan pasukan JDT kerana mereka ialah sebuah kelab bola sepak bukan kelab jual baju.

Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) baru-baru ini menegaskan jersi cantik tidak begitu penting kerana ia bukan kayu pengukur untuk menilai kejayaan sesebuah pasukan itu.

TMJ berkata demikian ketika ditanya soalan mengenai pandangannya tentang jersi baharu JDT musim 2023 dalam satu rakaman video temubual JDT TV yang disiarkan menerusi laman facebook Johor Southern Tigers.

“Kami kelab bola sepak. Kami di sini bukan untuk jual baju. Kami di sini untuk berjaya dalam setiap aspek. Bermakna ada infrastruktur sukan tercanggih, teknologi dan juga kejayaan dalam padang, dalam setiap pertandingan, pencapaian dan rekod.

“Bagi saya penilaian kelab itu berjaya atau tidak, bukan setakat jual baju. Baju cantik, baju tak cantik, bagi saya belakang kira. Kalau kita tengok, 2016, 2017, 2018, kit JDT pun biasa saja.

“Tetapi itu tak penting kerana kami bukan kelab jual baju. Kami adalah kelab yang cuba berjaya dalam setiap aspek nilai komersial, infrastruktur canggih dan kejayaan dalam padang. Itu lebih penting bagi saya,” tegas TMJ.