FIFA sedang melancarkan siasatan dan akan ambil tindakan dalaman ke atas Salt Bae selepas cef selebriti itu mendapat ‘akses tidak sewajarnya’ berada di atas padang menyertai pemain pemain Argentina meraikan kejuaraan Piala Dunia.

Salt Bae sebelum ini dikritik hebat kerana melanggar protokol keraian Piala Dunia. Di mana menurut peraturan FIFA, hanya mereka yang terpilih, bekas juara atau ketua negara sahaja yang dibenarkan untuk menyentuh Piala Dunia itu.

Salt Bae, yang nama sebenarnya Nusret Gokce, dirakam kamera memegang dan mencium trofi Piala Dunia selepas Argentina menewaskan Perancis pada perlawanan akhir di Stadium Lusail, Doha, Qatar.

Cef dari Turki itu malah mengganggu beberapa pemain Argentina yang ingin meraikan detik itu dengan trofi kemenangan mereka.

Lionel Messi antara pemain yang dilihat agak terganggu dengan Salt Bae yang berkali kali menariknya untuk bergambar.

Sedangkan ketika itu Messi mahu meraikan detik itu bersama ahli keluarganya.

Pemain bek tengah Manchester United, Lisandro Martinez juga dilihat tidak selessa dengan kelakuan Salt Bae yang menganggunya ketika dia mahu bergambar kenang kenangan memegang piala itu di atas padang di Stadium Lusail.

FIFA kesal dengan insiden itu dan berkata:

“Berikutan hasil semakan, FIFA telah menentukan bagaimana beberapa individu mendapat akses tidak wajar ke padang ketika majlis penutupan di Stadium Lusail pada 18 Disember,” kata jurucakap FIFA kepada BBC.

“Tindakan dalaman yang sewajarnya akan diambil.”

Selepas kenyataan itu dibuat, presiden FIFA, Gianni Infantino yang boleh dikatakan rapat dengan Salt Bae telah menyah-ikut Salt Bae di Instagram.

Infantino sebelum ini dilihat sangat rapat dengan Salt Bae dan pernah makan di restauran cef selebriti itu.

Netizen berkongsi beberapa detik mesra antara Infantino dan Salt Bae.

Salt Bae malah dilihat telah menjadi tetamu VIP tetap FIFA sepanjang Piala Dunia 2022. Dia turut bergambar bersama Infantino dan legenda Brazil di dalam stadium.