Hasrat peminat bola sepak tempatan untuk menyaksikan kelibat skuad bola sepak Malaysia bawah 23 tahun (B-23) dalam saingan Sukan Asia 2022 Hangzhou di China tidak jadi kenyataan apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membuat keputusan tidak hantar pasukan itu.

Perkembangan ini didedahkan oleh Presiden FAM sendiri, Datuk Hamidin Mohd Amin dalam satu temubual eksklusif bersama media semalam.

Menurut Hamidin, keputusan itu dibuat setelah mengambil pandangan daripada Pengarah Teknikal FAM, Scoot O’Donell dan ketua jurulatih skuad Malaysia B-23, E. Elavarasan. Ia turut dimaklumkan kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Punca utama penarikan diri daripada Sukan Asia 2022 ialah FAM mahu skuad negara memberi fokus kepada Kelayakan Piala Asia B-23 yang turut berlangsung pada bulan yang sama.

Berdasarkan jadual, Sukan Asia 2022 akan berlangsung pada 23 September hingga 8 Oktober manakala pusingan Kelayakan Piala Asia B-23 bermula 4 September hingga 12 September 2023.

“Bulan Mei ada Sukan Sea dan kita nak buat yang terbaik. Saya nak bagitahu, untuk Sukan Asia kita takkan sertai selepas mengambil pandangan pengarah teknikal dan jurulatih kerana tarikh itu dekat dengan kelayakan Piala Asia.

“Dari kita pergi [ke Sukan Asia] dan kelayakan pun main nanti, tiba-tiba keputusan lagi teruk, baik kita fokus kelayakan pada September nanti.

“Fokus kita tahun ini ialah tiga kejohanan utama iaitu Sukan SEA di Kemboja, Kelayakan Piala Asia B-23 dan Piala AFF B-23,” jelas Hamidin.

Sebagai persiapan awal ke Sukan SEA 2023 yang akan bermula pada bulan Mei nanti, 25 pemain telah dipanggil oleh ketua jurulatih, E Elavarasan bagi menyertai kem latihan pusat bermula semalam hingga Ahad, 19 Februari 2023.

Daripada senarai pemain tersebut, Elavarasan telah memanggil seramai 19 pemain baharu berusia bawah 22 tahun bagi menjalani kem latihan pusat selama enam hari, dalam perancangan untuk menguji mereka.

Pendekatan itu diambil memandangkan peraturan pertandingan bola sepak Sukan SEA 2023 Cambodia telah menggunakan format umur iaitu bawah 22 tahun sahaja dibenarkan bermain termasuk dua kuota pemain lebih umur dalam kejohanan Sukan SEA tahun ini.

Panggilan kali ini memberikan peluang dan laluan kepada pemain-pemain lain untuk diuji Elavarasan di mana barisan tonggak Sukan SEA edisi lalu akan dipanggil pada kem latihan pusat bulan hadapan.