Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan senarai nama 25 pemain yang dipanggil oleh ketua jurulatih skuad B-23 kebangsaan, E Elavarasan bagi menyertai kem latihan pusat bermula Selasa, 14 Februari 2023 hingga Ahad, 19 Februari 2023.

Daripada senarai pemain tersebut, Elavarasan telah memanggil seramai 19 pemain baharu bagi menjalani kem latihan pusat selama enam hari, dalam perancangan untuk menguji mereka sebagai salah satu siri persiapan pasukan junior negara yang bakal bermain di Sukan SEA 2023 Cambodia bermula 29 April 2023 sehingga 15 Mei 2023 di Kemboja.

Pendekatan itu diambil memandangkan peraturan pertandingan bola sepak Sukan SEA 2023 Cambodia telah menggunakan format umur iaitu bawah 22 tahun sahaja dibenarkan bermain termasuk dua kuota pemain lebih umur dalam kejohanan Sukan SEA tahun ini.

Panggilan kali ini memberikan peluang dan laluan kepada pemain-pemain lain untuk diuji Elavarasan di mana barisan tonggak Sukan SEA edisi lalu akan dipanggil pada kem latihan pusat bulan hadapan.

Skuad B-23 kebangsaan akan menjalani latihan harian di sepanjang kem latihan pusat kali ini di Padang Wisma FAM, Kelana Jaya dengan 25 pemain yang dipanggil ini akan melapor diri pada Selasa ini.

Mereka akan mengadakan satu perlawanan persahabatan tertutup pada kem latihan pusat kali ini.