Pemain sayap skuad kebangsaan, Faisal Halim mengakui beliau sanggup mengorbankan waktu cuti bersama keluarga demi membantu Harimau Malaya hadapi saingan Piala AFF Misubishi Electric yang bakal berlangsung pada bulan depan.

Menurutnya, tanggungjawab kepada negara lebih penting dan beliau mendapat panggilan daripada ketua jurulatih, Kim Pan-gon untuk memperkuatkan jentera serangan.

“Apabila jurulatih menghubungi saya lebih awal, beliau bertanya sama ada saya mahu sertai skuad ini atau tidak. Saya sudah beri keputusan, saya sertai kerana nak bantu Malaysia.

“Saya cakap kepada isteri, saya perlu bantu Malaysia lepas balik barulah kami akan pergi bercuti,” katanya.

Sejak hari pertama kem latihan pusat, 17 pemain telah melapor diri di kem manakala baki 11 pemain lain akan menyertai pasukan secara berperingkat iaitu tujuh pemain Selangor FC dan dua pemain Johor Darul Ta’zim pada 5 Disember 2022.

Manakala penjaga gol Terengganu FC, Rahadiazli Rahalim akan menyertai pasukan pada 6 Disember 2022 selepas selesai kem latihan pusat skuad B-23 kebangsaan dan pemain FK Jablonec, Dion Cools pada 16 Disember 2022.

Bagaimanapun, Faisal memandang positif dengan kehadiran muka baharu dan berharap mereka semua bersedia untuk mempamerkan aksi terbaik demi negara.

“Saya dapat lihat semua pemain bersemangat, semua ambil tanggungjawab berjuang atas satu nama Malaysia yang besar. Bagi saya, semua pemain perlu bersedia dan beri komitment yang terbaik.

“Tak guna jika kita datang ke sini sekadar menghabiskan masa. Saya sanggup ketepikan cuti dan datang ke sini untuk bantu Malaysia sebaik yang mungkin,” tegas Faisal.

Skuad Harimau Malaya bakal beraksi dalam Perlawanan Antarabangsa Tier 1 yang pertama menentang Kemboja pada 9 Disember 2022 di Stadium Nasional, Bukit Jalil sebelum menentang Maldives bagi aksi kedua pada 14 Disember 2022 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Seterusnya ketua jurulatih, Kim Pan Gon akan menamakan senarai akhir 23 pemain ke Piala AFF 2022 yang mana bagi kempen Kumpulan B, Malaysia akan bertemu Myanmar di Yangon pada 21 Disember 2022, Laos di Bukit Jalil pada 24 Disember 2022, Vietnam di Hanoi pada 27 Disember 2022 dan Singapura di Bukit Jalil pada 3 Januari 2023.

Jika Malaysia berjaya muncul dua pasukan teratas Kumpulan B, saingan separuh akhir akan berlangsung pada 6/7 Januari 2023 dan 9/10 Januari 2023 manakala Final pula dijadual pada 13 dan 16 Januari 2023, semuanya secara timbal balik.