Follow Untuk Isu-isu Viral Kemaskini Terkini

Pemain sayap Terengganu, Faisal Halim memberikan respon mengenai dakwaan yang mengatakan beliau sudah menandatangani kontrak bersama pasukan lain ketika masih mempunyai kontrak bersama kelab Pantai Timur itu.

Artikel Berkaitan:

Menurut Faisal, sekiranya beliau sudah membuat keputusan mengenai pasukan baharunya, sudah pasti ada pengumuman yang dilakukan oleh pemain berusia 24 tahun itu.

Faisal Halim
Kredit Foto: Syamil Rosli I PFA Malaysia

“Kalau saya dah buat keputusan, saya dah umum. Kalau saya dah tandatangan dengan Selangor, saya takkan jaringkan gol pada aksi separuh akhir menentang Selangor.

“Kalau saya tak profesional, saya takkan main malam ini (semalam),” kata Faisal Halim menurut laporan Harimau Malaya.

Tambah Faisal, beliau mahu kekal bersama Terengganu namun situasi semasa yang sedang berlaku dalam pasukan itu, Faisal menegaskan beliau akan membuat pertimbangan.

“Jujur saya katakan bahawa saya ingin kekal tetapi keputusan tidak sewajarnya telah berlaku, apa yang saya boleh buat adalah untuk berjuang sehabis baik dengan pasukan Terengganu.

“Saya ingin ucapkan terima kasih kepada semua peminat dan pengurusan yang telah menjaga saya dengan baik, apa yang perlu sekarang adalah misi untuk bawa Terengganu sekali lagi ke final,” tambahnya.

Bekas pemain Sri Pahang itu turut berpendapat isu mengenai ketua jurulatih pasukan, Nafuzi Zain tidak perlu diperbesarkan kerana boleh mengganggu fokus dan fikiran pemain, apatah lagi bakal beraksi pada peringkat separuh akhir Piala Malaysia.

Selangor membawa kelebihan dua gol menjelang aksi kedua separuh akhir TM Piala Malaysia 2022 apabila menundukkan Terengganu 3-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya semalam.

Jaringan menerusi Richmond Tetteh Ankrah, Herlison Caion dan Sharul Nazeem memberikan kelebihan buat skuad bimbingan Tan Cheng Hoe menjelang aksi kedua di Kuala Terengganu pada 21 November ini.