Follow Untuk Isu-isu Viral Kemaskini Terkini

Selangor membawa kelebihan dua gol menjelang aksi kedua separuh akhir TM Piala Malaysia 2022 apabila menundukkan Terengganu 3-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya sebentar tadi.

Dengan reputasi Selangor semakin meningkat sebaik sahaja dibimbing Tan Cheng Hoe manakala Terengganu pula terkenal dengan corak permainan tersusun, ia jelas memperlihatkan tempo tinggi pada perlawanan ini.

Pasukan pelawat bagaimanapun terlebih dahulu berada dihadapan apabila sepakan percuma daripada Tchetche Kipre pada minit ke-19 berjaya melepasi benteng lalu menerjah gawang Selangor yang dikawal Mohd Khairulazhan Mohd Khalid.

Terengganu hampir menambah jaringan kedua berselang empat minit kemudian tetapi Khairuazhan lebih bersedia untuk menafikan rembatan dalam kawasan penalti dilakukan Manuel Ott.

Selangor yang mengkucar-kacirkan jentera pertahanan Terengganu menerusi kelincahan Norhakim Hassan dan Hein Htet Aung kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-37 menerusi Richmond Tetteh Ankrah.

Selangor Terengganu
Kredit Foto: Syamil Rosli I PFA Malaysia

Berpunca daripada sepakan sudut Mukhairi Ajmal Mahadi, Richmond melonjak untuk menanduk masuk bola bagi menewaskan penjaga gol, Suhaimi Hussin.

Jaringan itu jelas menyemarakkan lagi api perjuangan Selangor untuk memburu jaringan dan hampir melakukannya berselang dua minit kemudian. Namun, rembatan Htet Aung selepas menerima lorongan Quentin Cheng diselamatkan Suhaimi.

Ketika aksi babak pertama hanya berbaki dua minit untuk ditamatkan, Herlison Caion melakukan ‘flying header’ bagi menyambar hantaran sepakan sudut Mukhairi Ajmal bagi memberikan kelebihan buat tuan rumah.

Mukhairi melengkapkan hatrik bagi bantuan jaringannya pada perlawanan ini apabila hantaran juga menerusi sepakan sudut pada minit ke-54 terus mencari Shahrul Nazeem Zulpakar untuk gol ketiga Selangor.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Terengganu cuba untuk bangkit bagi mendapatkan jaringan tetapi rembatan padu Kipre dan Arif Fadzilah diselamatkan Khairulazhan manakala percubaan Kpah Sherman pula sekadar singgah di palang gol.

Kemenangan bermakna itu bukan sahaja memberikan kelebihan dua gol buat Selangor menjelang aksi kedua di Gong Badak pada 21 November nanti, malah ia turut menamatkan penantian 10 aksi tanpa sebarang kemenangan bertemu lawan tersebut.