Bintang baharu Sri Pahang FC, Mohd Fadhli Mohd Shas bertekad ingin menaikkan kembali maruah skuad Tok Gajah di pentas Liga Malaysia pada musim 2023.

Baginya, Sri Pahang mempunyai ramuan yang mencukupi bagi menghadirkan saingan sengit kepada pasukan lain setelah mengetahui pemain-pemain yang bakal menguatkan cabaran pasukan.

“Memang saya ada menerima beberapa tawaran lain tetapi akhirnya saya buat keputusan bersama Sri Pahang kerana yakin pasukan dilihat cukup serius untuk kembali bangkit menjadi pencabar.

“Saya teruja dengan perancangan pasukan dengan melihatkan kehadiran muka-muka baharu, saya rasa Sri Pahang mampu menjadi salah satu pencabar kejuaraan.

“Malah, ada beberapa pemain di sini saya turut kenali seperti Muslim Ahmad, yang merupakan gandingan saya ketika memenangi pingat emas Sukan SEA dan Piala AFF,” katanya kepada MFL.

Berusia 31 tahun, Fadhli yang merupakan produk Harimau Muda, telah bersama JDT selama 8 musim iaitu bermula 2014 sehingga 2021 sebelum ke Melaka secara pinjaman pada musim lalu.

Dia menjadi pilihan utama di bahagian pertahanan tengah apabila dari 22 perlawanan Liga Super, Fadhli diturunkan dalam 15 aksi dalam kesebelasan utama dan hanya sekali selaku pemain gantian.

Selain Fadhli, Sri Pahang turut mengumumkan pertahanan kiri, Syazwan Andik, pada Rabu, yang dipinjamkan dari JDT.

Sementara itu, Fadhli berkata, dia berharap Sri Pahang mampu kembali melonjakkan kembali kariernya selepas melalui detik pahit bersama Melaka musim lalu.

“Apa yang terjadi di Melaka musim lalu sememangnya satu pengalaman yang mahu segera dilupakan apabila kami berdepan krisis kewangan yang melemahkan semangat pasukan.

“Namun, hikmah buat saya ialah sekurang-kurangnya berjaya mendapatkan banyak minit permainan dan harap boleh kekalkan rentak sama apabila dengan Sri Pahang.

“Sudah tentu bersama Sri Pahang, saya harap boleh naikkan kembali karier sama seperti dahulu dan mana tahu, satu hari nanti saya boleh mengetuk kembali pintu dalam skuad kebangsaan,” katanya.