Kelab Bola Sepak Sri Pahang (SPFC) hari ini mengumumkan kemasukan pemain pertahanan baharu, Fadhli Shas bagi memperkuatkan pasukan itu dalam saingan Liga Malaysia musim 2023.

Menurut kenyataan rasmi, pemain berusia 31 tahun ini telah menandatangani kontrak selama dua tahun bersama tok gajah.

“Pernah menyarung jersi skuad muda dan senior kebangsaan, Fadhli membawa bersamanya pengalaman luas baik di pentas domestik mahupun antarabangsa.

“Beliau telah bersama JDT selama lapan musim sebelum dipinjamkan ke Melaka United tahun ini. Pengalaman Fadhli pastinya menjadi satu suntikan terbaik untuk posisi pertahanan,” tulis kenyataan rasmi kelab.

Lebih menarik, Fadhli kini berpeluang berganding semula dengan rakan lamanya, Muslim Ahmad di bahagian pertahanan tengah. Ketika zaman muda, mereka sering beraksi bersama dalam skuad kebangsaan di peringkat antarabangsa.

Gandingan ini juga pernah membantu skuad Malaysia menjuarai Piala AFF 2010 ketika dibawah kendalian Datuk Rajagobal. Mereka juga cemerlang membantu negara memenangi pingat emas Sukan SEA 2011.

Kali terakhir mereka berdua berganding dalam skuad kebangsaan ialah ketika saingan Piala AFF 2014 dibawah kendalian Datuk Dollah Salleh. Malaysia ketika itu muncul sebagai naib juara apabila tewas kepada Thailand menerusi agregat 4-3.

Sri Pahang dijangka akan mengumumkan beberapa lagi pemain baharu dalam usaha untuk menjadi pencabar terkuat dalam saingan Liga Super musim depan.

Tok Gajah juga bakal dikendalikan oleh jurulatih dari Singapura, Fandi Ahmad yang pernah menjuarai Piala FA 2015 ketika melatih Lions XII.