FA Ukraine akhirnya bersuara tentang desakan agar Iran disingkirkan daripada Piala Dunia 2022.

Sebelum ini sudah ada beberapa pihak mendesak agar Iran disingkirkan daripada Piala Dunia 2022 atas alasan sebab kemanusiaan. Ada juga yang mencadangkan agar tempat Iran diberikan kepada Ukraine.

Ketua Pengarah Eksekutif Shaktar Donetsk, Sergei Palkin, antara individu yang menggunakan kapasiti kelabnya mencadangkan agar Iran digantikan dengan Ukraine dalam Piala Dunia 2022 yang akan datang.

Ini kerana menurut Palkin, Iran telah menjadi pembekal senjata berterusan kepada Rusia untuk menyerang Ukraine.

Lantas, dia mendesak agar Iran dikenakan sekatan yang oleh FIFA, seperti mana mereka lakukan ke atas Rusia.

Palkin dalam kenyaatannya menerusi laman rasmi kelab berkata: “Ketika pemimpin Iran berseronok menonton pasukan kebangsaan mereka di Piala Dunia, rakyat Ukraine akan dibunuh oleh dron dan peluru berpandu dari Iran.”

“Hampir 250 dron telah pun menyerang bandar di Ukraine. Semuanya dihasilkan dan dihantar oleh pihak berkuasa dan pakar dari Iran.”

“Tentera mereka juga melatih dan menganjurkan pelancaran dron yang memusnahkan rumah, muzium, universiti, pejabat, arena sukan dan taman permainan, serta orang awam.”

“Orang awam ini termasuk kanak-kanak yang bermimpi bermain untuk pasukan kebangsaan Ukraine di Piala Dunia,” kata Palkin.

“Shakhtar Donetsk menyeru FIFA dan masyarakat antarabangsa untuk mengharamkan penyertaan Iran dalam Piala Dunia 2022 kerana penyertaan negara mereka dalam serangan pengganas di Ukraine,” Palkin menyambung.

FA Ukraine mahu Iran disingkirkan daripada Piala Dunia 2022

Dan terbaru, FA Ukraine sendiri menerusi jurucakapnya mendesak agar FIFA segera membuang Iran sebelum sepak mula Piala Dunia 2022. FA Ukraine menggunakan hujah yang sama, Iran tidak berhak bertanding dalam Piala Dunia 2022 kerana pemimpin politik mereka membantu Rusia.

Mereka menuduh Iran sebagai melakukan pencabulan hak asasi manusia secara sistematik.

Menurut pandangan beberapa pakar, agak sukar untuk FIFA menggantung Iran dengan Piala Dunia bakal bermula 20 November akan datang.

Untuk menggantung sesebuah pasukan, ianya memerlukan proses yang rumit dan agak panjang. Selain itu, slot yang kosong juga perlu diisi oleh pasukan lain berdasarkan merit dan pertimbangan tertentu. Atau FIFA sanggup membiarkan sahaja kumpulan yang ada Iran cuma ada 3 pasukan?

Nampak gayanya, Iran mungkin akan terus diberikan hak beraksi di Piala Dunia.