Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berdepan desakan hebat untuk menyingkirkan Iran dari temasya Piala Dunia 2022 dan digantikan dengan Ukraine.

Antara yang membuat desakan tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) salah sebuah kelab Uktraine, Shakhtar Donetsk iaitu Sergei Palkin dimana beliau mahu FIFA untuk memberikan slot yang dimiliki pasukan dari Asia itu kepada Ukraine ekoran beberapa sebab.

Palkin mendakwa Iran membekalkan peralatan senjata kepada Rusia seperti perluru berpandu, dron dan juga kenderaan perang dan perkara ini nyata tidak boleh diterima oleh ramai pihak.

“Ketika pemimpin Iran seronok melihat pasukan kebangsaan mereka beraksi di Piala Dunia 2022, rakyat Ukraine terbunuh kerana peluru berpandu dan dron mereka. Setiap satu daripadanya dibuat dan dihantar oleh pemimpin negara itu yang turut menyaksikan banyak bangunan seperti muzium, universiti, kemudahan sukan, pejabat musnah dan paling menyedihkan rakyat negara kami juga terbunuh.

“Kami menggesa agar FIFA dan komuniti bola sepak dunia agar menyingkirkan Iran dari temasya Piala Dunia 2022. Ini adalah keputusan yang adil dan tempat mereka harus digantikan dengan Ukraine. Saya yakin para pemain akan beraksi dengan sepenuh hati,” kata Palkin.

Selain itu, aktivis yang dikenali dengan nama Open Stadium turut menggesa FIFA agar tidak membenarkan Iran untuk beraksi dalam temasya yang akan berlangsung di Qatar ekoran layan buruk terhadap kaum wanita di negara itu.

Gesaan ini muncul setelah seorang wanita Kurdish berusia 22 tahun, Mahsa Amini meninggal dunia ketika berada dalam tahanan polis pada awal bulan ini.

Pada 2019, terdapat kes dimana seorang peminat, Sahar Khodayari atau yang lebih dikenali dengan gelaran “Blue Girl” meninggal dunia di hospital selepas membakar dirinya di luar mahkamah di mana dia bimbang akan dipenjarakan selama 6 bulan setelah menghadiri perlawanan yang melibatkan pasukannya iaitu Esteghlal dengan menyamar sebagai lelaki.

Sebelumnya, Iran tidak membenarkan wanita untuk memasuki mana-mana stadium bola sepak di negara itu selama lebih 40 tahun dan tindakan itu nyata mengundang kritikan dari ramai pihak sekaligus memaksa badan induk bola sepak dunia itu campur tangan.