Belanda terpaksa menelan kepahitan tersingkir daripada persaingan Euro 2020 selepas tunduk 0-2 di tangan Republik Czech pada aksi pusingan 16 yang berlangsung di Ferenc Puskas Arena, sebentar tadi.

Turun selaku juara kumpulan C dengan rekod kemenangan bersih dicatatkan langsung tidak membantu Belanda yang dilihat sedikit mengalami kesukaran untuk mempamerkan corak permainan bertenaga seperti ditampilkan pada tiga aksi peringkat kumpulan.

Ia jelas terbukti apabila skuad kendalian Frank De Boer itu gagal untuk mencipta sebarang percubaan tepat sepanjang perlawanan walaupun beberapa kali jentera serangan yang diketuai Memphis Depay cuba mengancam kubu Republik Czech.

Keadaan di separuh masa kedua lebih menarik untuk diperkatakan apabila Belanda hampir membuka tirai jaringan pada minit ke-52 menerusi Donyell Malen yang berjaya melepasi kawalan dua pemain pertahanan Republik Czech.

Bagaimanapun penjaga gol, Tomas Vaclik nyata lebih tenang untuk menghalang gawangnya daripada dibolosi ketika beliau hanya berhadapan dengan penyerang PSV Eindhoven tersebut.

Malapetaka mula menimpa Belanda pada minit ke-55 selepas tonggak pertahanan, Mathijs De Ligt diperintahkan keluar padang selepas melakukan kesalahan profesional dengan memegang bola ketika beliau sudah terjatuh dalam usahanya untuk tidak memberikan ruang kepada pemain Republik Czech.

Beliau pada mulanya hanya diberikan kad kuning tetapi selepas rujukan Video Assistant Referee (VAR) dibuat, beliau akhirnya dilayangkan kad merah.

Kehilangan seorang pemain itu nyata merosakkan perancangan Belanda yang kemudiannya menjadi mangsa tekanan hebat pasukan lawan.

Kesempatan itu digunakan sepenuhnya anak buah Jaroslav Silhavy untuk mendapatkan jaringan pendahuluan pada minit ke-68 menerusi Tomas Holes.

Holes yang menerima umpanan daripada Tomas Kalas ketika situasi sepakan percuma tidak melepaskan peluang terhidang untuk menanduk masuk bola bagi membolosi gawang Belanda.

Patrick Schick memadamkan api perjuangan Belanda pada minit ke-80 apabila beliau berjaya menolak masuk bola hasil ‘cutback’ dilakukan Holes dalam kawasan penalti untuk menjadikan kedudukan 2-0.

Kemenangan berharga itu menyaksikan Republik Czech menempah pertemuan menentang Denmark pada aksi suku akhir yang bakal berlangsung pada 3 Julai nanti di Baku, Azerbaijan.