Republik Czech terpaksa menunggu perlawanan terakhir untuk memburu tempat ke pusingan 16 selepas terikat 1-1 pada pertemuan kedua kempen Euro 2020 menentang Croatia di Hampden Park, Glasgow sebentar tadi.

Walaupun hanya tiga percubaan tepat ke arah pintu gol yang dijelmakan kedua-dua pasukan sepanjang perlawanan berlangsung, corak permainan ditampilkan dua negara Balkan ada ketikanya mendebarkan.

Thomas Soucek menguji gawang Croatia yang dikawal Dominik Livakovic seawal minit keempat tetapi tandukannya ketika menerima umpanan sepakan penjuru Jakub Jankto sekadar melewati palang gol.

Percubaan dalam kawasan penalti Ivan Perisic pada minit ke-23 susulan hantaran baik daripada Luka Modric pula mudah ditangkap penjaga gol Republic Czech, Tomas Vaclik.

Kontroversi melanda perlawanan ini berikutan keputsan Video Assistant Referee (VAR) yang menghadiahkan sepakan penalti buat skuad kendalian Jaroslav Silhavy itu selepas Dejan Lovren didakwa mengasari Patrick Schick ketika perebutan bola di udara.

Schick yang mengambil sepakan pada minit ke-37 itu tidak berdepan masalah untuk meletakkan Republik Czech di hadapan. Ia merupakan jaringan ketiga peribadi buat beliau dalam saingan Euro setakat ini.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Croatia memberikan respon pantas selepas lorongan cantik di tengah padang oleh Josip Brekalo membolehkan Ante Rebic meluru pantas ke kawasan penalti lawan.

Bagaimanapun, penyerang berusia 27 tahun itu melakukan percubaan yang sekadar singgah di tepi jaring pintu gol Republik Czech.

Kedudukan kembali terikat ketika perlawanan memasuki minit ke-47 apabila Perisic melakukan gerakan ke dalam kawasan penalti dan kemudiannya melepaskan rembatan yang gagal dinafikan Vaclik.

Perlawanan selepas itu menyaksikan kedua-dua pasukan menggandakan serangan ke arah kubu lawan masing-masing. Bagaimanapun, segala kudrat yang dicurahkan dalam usaha mendapatkan jaringan kemenangan masih tidak mampu untuk direalisasikan.

Dengan keputusan seri tersebut, Republik Czech kini menghuni tangga teratas kumpulan D dengan kelebihan satu mata berbanding pencabar terdekat, England yang akan beraksi sebentar nanti menentang Scotland.

Croatia pula di tangga ketiga dengan satu mata manakala Scotland di kedudukan terakhir tanpa sebarang mata selepas tumpas 0-2 bertemu Republik Czech, tempoh hari.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Kejuaraan Euro 2020:

Euro 2020: Jaringan Penalti Emil Forsberg Hidupkan Peluang Sweden

Euro 2020: Belanda Teruskan Rentak Positif, Melangkah Ke Pusingan 16

Euro 2020: De Bruyne Bantu Belgium Bangkit Daripada Lamunan