Tiga jaringan lewat permainan berjaya membantu Portugal mencatatkan kemenangan 3-0 ke atas Hungary pada aksi kumpulan F saingan Euro 2020 yang berlangsung di Ferenc Puskas Stadium, Budapest sebentar tadi.

Seperti dijangkakan, juara bertahan yang diperkuatkan kehadiran Cristiano Ronaldo dan Bruno Fernandes itu menguasai sebahagian besar perlawanan dengan memiliki penguasaan bola sebanyak 70 peratus.

Diogo Jota menguji gawang lawan yang dikawal Peter Gulacsi seawal minit kelima menerusi rembatan padu dalam kawasan penalti tetapi penjaga gol berusia 31 tahun itu menepis keluar bola bagi menyelamatkan keadaan.

Pemain serangan Liverpool itu sekali lagi mendapat peluang selepas menerima hantaran Nelson Semedo tetapi Gulacsi terus cemerlang dalam menggagalkan percubaan dari jarak dekat diledakkannya pada minit ke-40.

Ronaldo terlepas peluang keemasan ketika perlawanan memasuki minit ke-43 apabila beliau yang tidak dikawal pemain pertahanan menolak liar bola hantaran baik daripada Bruno Fernandes.

Memasuki babak kedua, giliran Pepe pula memberikan ancaman tetapi tandukannya susulan sepakan sudut Fernandes dinafikan Gulacsi.

Skuad kendalian Fernando Santos itu hampir tersentak pada minit ke-80 apabila Hungary yang sesekali menjelmakan serangan berjaya menghasilkan jaringan.

Bagaimanapun, Szabolcs Schon yang membolosi gawang Rui Patricio terlebih dahulu dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.

Aksi enam minit terakhir jelas menjadi detik yang dinantikan kem Portugal setelah percubaan dalam kawasan penalti daripada Raphael Guerreiro membias terkena pemain pertahanan, Willi Orban lalu memecahkan kebuntuan pada minit ke-84.

Jaringan itu jelas menjadi tonik cukup berguna buat Portugal apabila jaringan kedua terhasil berselang tiga minit kemudian menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Ronaldo.

Sepakan tersebut dihadiahkan pengadil perlawanan dari Turki, Cuneyt Cakir setelah Orban melakukan kekasaran terhadap Rafa Silva dalam kawasan penalti.

Ronaldo sekali lagi meletakkan nama selaku penjaring apabila beliau mudah menolak masuk bola selepas beliau menerima lorongan cantik daripada Rafa Silva untuk mengesahkan kemenangan 3-0 memihak Portugal.

Dua gol yang dihasilkan Ronaldo itu menjadikan beliau sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman dalam saingan Euro iaitu sebanyak 11 gol.