Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Pertembungan dua gergasi bola sepak dunia yang dinanti-nantikan, Perancis bertemu Jerman menyaksikan juara dunia itu berjaya menundukkan Jerman 1-0 pada aksi kumpulan F saingan Euro 2020 di Allianz Arena, sebentar tadi.

Skuad kendalian Didier Deschamps itu sudah pastinya berterima kasih kepada jaringan sendiri yang dihasilkan tonggak pertahanan Jerman, Mats Hummels pada minit ke-20.

Hummels melakukan sepakan yang terus ke gawangnya sendiri dalam usaha beliau untuk mematahkan hantaran lintang dilakukan Lucas Hernandez.

Meskipun Jerman dilihat menguasai permainan, Perancis terlebih dahulu mengancam kubu tuan rumah menerusi tandukan Paul Pogba yang sedikit melewati palang gol hasil hantaran sepakan sudut daripada Antoine Griezmann.

Bintang Perancis, Kylian Mbappe memaksa Manuel Neuer bekerja keras selepas percubaannya dalam kawasan penalti ditepis keluar penjaga gol berpengalaman itu berselang seminit kemudian.

Ketika keputusan perlawanan sudah memihak Perancis, Jerman hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-20 tetapi tandukan Thomas Muller ketika menerima umpanan lintang menarik dari Robin Gosens sedikit tersasar di sebelah kiri pintu gol.

Adrian Rabiot turut terlepas peluang keemasan ketika perlawanan memasuki minit ke-52 apabila rembatannya dalam kawasan penalti setelah menerima hantaran daripada Mbappe sekadar singgah di tiang gol.

Perancis berpeluang untuk mematikan api perjuangan Jerman pada perlawanan ini apabila berjaya mendapatkan dua jaringan pada minit ke-66 menerusi Mbappe dan Karim Benzema [minit ke-85].

Bagaimanapun kedua-dua gol tersebut terpaksa dibatalkan selepas Mbappe dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.

Anak buah Joachim Low turut berusaha keras untuk sekurang-kurangnya mengelakkan daripada menerima kekalahan dengan melakukan beberapa percubaan tetapi usaha mereka masih tidak cukup untuk memastikan keputusan 1-0 itu kekal hingga tamat permainan.

Kemenangan itu menyaksikan Perancis berada di kedudukan kedua, hanya dipisahkan perbezaan jaringan berbanding pendahulu kumpulan F, Portugal yang mencatatkan kemenangan 3-0 ke atas Hungary di Budapest.

 

 

Anda Mungkin Suka

© 2021 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group