Jerman menarik nafas lega apabila jaringan lewat Leon Goretzka menyelamatkan maruah mereka daripada tersingkir awal dalam persaingan Euro 2020 selepas mencatatkan keputusan seri 2-2 bertemu Hungary di Allianz Arena, sebentar tadi.

Seperti yang dijangkakan, Jerman sememangnya tidak berdepan masalah untuk mendominsi sebahagian besar permainan sebaik sahaja wisel permulaan ditiup pengadil perlawanan Sergei Karasev dari Russia.

Skuad kendalian Joachim Low itu juga mendapat peluang seawal minit keempat tetapi percubaan dilakukan Joshua Kimmich dalam kawasan penalti dinafikan dengan cemerlang penjaga gol Hungary, Peter Gulacsi.

Para penyokong juara tiga kali kejuaraan Euro itu bagaimanapun ‘terkedu’ pada minit ke-11 apabila tandukan yang dilakukan Adam Szalai selepas menerima hantaran baik susulan serangan balas daripada Rolland Sallai berjaya menewaskan Manuel Neuer di gawang Jerman.

Tersentak dengan dengan jaringan mengejutkan itu, Jerman memperkemaskan aksi dan tampil dengan lebih baik dalam usaha mereka melancarkan serangan.

Usaha tersebut hampir membuahkan hasil ketika permainan memasuki minit ke-21 tetapi tandukan Mats Hummel setelah menerima hantaran lintang daripada Kai Havertz sekadar singgah di palang gol.

Tidak sampai seminit kemudian, giliran Matthias Ginter pula mendapat peluang terbaik di hadapan pintu gol berikutan kelewatan pemain pertahanan Hungary mengeluarkan bola dari kawasan berbahaya.

Namun, percubaan jarak dekat dilakukan pemain pertahanan berusia 27 tahun itu berjaya ditangkap kemas Gulacsi.

Jaringan diharapkan Jerman akhirnya hadir pada minit ke-66 apabila Kai Havertz menolak masuk bola susulan kesilapan Gulacsi yang gagal sekadar menumbuk angin cubaannya untuk mengeluarkan bola susulan sepakan percuma Kimmich.

Bola kemudiannya terus ke kepala Hummels dan memberikan peluang buat Havertz untuk menolak masuk bola bagi mengikat kembali kedudukan.

Kegembiraan itu tidak kekal lama selepas Hungary kembali dihadapan berselang dua minit kemudian hasil serangan pantas dilakukan ke arah pintu gol Jerman.

Berpunca daripada umpanan lambung Szalai terus memberikan ruang buat Andras Schafer menanduk masuk bola ketika beliau sudah pun melepasi kawalan pertahanan Jerman.

Melihatkan hanya jaringan penyamaan dapat menyelamatkan mereka daripada tersingkir daripada persaingan, Leon Goretzka muncul wira buat Jerman apabila percubaannya dalam kawasan penalti pada minit ke-84 gagal dinafikan Gulacsi.

Lebih menarik, tiga pemain yang baharu sahaja dimasukkan iaitu Goretzka, Timo Werner dan Jamal Musiala terlibat dalam penghasilan jaringan bermakna itu.

Dengan keputusan tersebut, Jerman menamatkan saingan kumpulan selaku naib juara dan akan berhadapan England pada pusingan 16 di London nanti.