Jerman kembali menampilkan ‘kejuruteraan’ sebenar bola sepak apabila mudah menundukkan juara bertahan, Portugal 4-2 pada aksi kedua saingan Kejuaraan Euro 2020 yang berlangsung di Allianz Arena, sebentar tadi.

Dengan status selaku gergasi bola sepak dunia, aksi menarik ditampilkan kedua-dua pasukan dengan Jerman lebih banyak mengawal permainan dan bijak dalam menyempurnakan peluang.

Sementara itu, Portugal yang diketuai bintang dunia, Cristiano Ronaldo pula kelihatan begitu berbahaya dalam serangan balas pantas.

Ia jelas dibuktikan apabila Robin Gosens berjaya membuka tirai jaringan hasil satu percubaan akrobatik seawal minit kelima perlawanan tetapi rujukan Video Assistant Referee (VAR) menyaksikan gol tersebut dibatalkan selepas Serge Gnabry terlebih dahulu dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.

Portugal yang memulakan saingan dengan langkah kanan selepas mencatatkan kemenangan 3-0 ke atas Hungary berjaya memperoleh jaringan pendahuluan menerusi Cristiano Ronaldo pada minit ke-15.

Jaringan tersebut berpunca daripada usaha Ronaldo yang mengeluarkan bola dari kawasan bahaya susulan sepakan sudut. Beliau kemudiannya meluru pantas ke kubu Jerman untuk menolak mudah bola hantaran Diogo Jota bagi memisahkan kedudukan.

Tersentak dengan jaringan itu, anak buah Joachim Low tampil dengan lebih garang untuk memburu jaringan penyamaan dan usaha mereka membuahkan hasil apabila dua jaringan menerusi gol sendiri duo pertahanan Portugal dalam tempoh lima minit terhasil.

Dua jaringan itu menjelma susulan hantaran Gosens dari sebelah kanan pintu gol Portugal terkena kaki Ruben Dias pada minit ke-35 dan juga cubaan Raphael Guerreiro berselang empat minit kemudian ketika usahanya untuk mengeluarkan hantaran Kimmich yang menggegarkan gawangnya sendiri.

Jerman jelas bijak menggunakan peluang ketika melihat jentera pertahanan Portugal berdepan kesukaran untuk mengekang asakan menerusi hantaran lintang dari belah sisi yang membolehkan Havertz mudah menyempurnakan hantaran lintang daripada Gosens pada minit ke-51.

Gosens yang beraksi cemerlang pada perlawanan ini tidak ketinggalan untuk meletakkan nama selaku penjaring berselang sembilan minit kemudian apabila beliau melonjak tinggi untuk menanduk masuk hantaran lintang dilakukan Kimmich.

Jota cuba merapatkan defisit jaringan bagi menjadikan kedudukan 4-2 dan keputusan itu kekal hingga tamat permainan untuk kemenangan berharga buat Jerman.

Dengan kemenangan yang dicatatkan Jerman, persaingan kumpulan F menjadi terbuka dengan Perancis kini di tangga teratas dengan mengumpul empat mata, berkelebihan satu mata meninggalkan Jerman dan Portugal.