Perancis terus membuktikan kejaguhan apabila berjaya menundukkan England 2-1 pada aksi suku akhir Piala Dunia 2022 yang berlangsung di Al Bayt Stadium, Qatar sebentar tadi.

Kemenangan penting dilakarkan itu bakal menemukan Perancis dengan Maghribi pada aksi separuh akhir yang dijadualkan berlangsung awal pagi Khamis nanti.

Aksi menarik yang dipamerkan kedua-dua pasukan bermula dengan percubaan tepat dijelmakan Olivier Giroud pada minit ke-11 tetapi tandukannya selepas menerima hantaran Ousmane Dembele mudah ditangkap Jordan Pickford.

Kem Perancis melonjak kegembiraan berselang enam minit kemudian apabila rembatan daripada luar kawasan penalti oleh Aurelien Tchouameni tidak mampu diselamatkan Pickford untuk memberikan gol pendahuluan.

Tersentak dengan jaringan itu, England memperkemaskan aksi dengan melancar beberapa serangan ke arah kubu lawan namun Hugo Lloris cemerlang menafikan sepakan percuma Luke Shaw serta dua percubaan Harry Kane.

Corak permainan lebih menarik dipamerkan pada babak kedua apabila England kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-54 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Kane.

Sepakan tersebut diberikan oleh pengadil perlawanan, Wilton Pereira Sampaio dari Brazil susulan kekasaran dilakukan Tchouameni terhadap Bukayo Saka dalam kawasan penalti.

Perancis memberikan reaksi pantas seminit kemudian selepas Adrien Rabiot melakukan percubaan voli daripada luar kawasan penalti. Namun, Pickford lebih bersedia untuk menepis keluar percubaan tersebut.

Memasuki minit ke-70, Harry Maguire terlepas peluang untuk menambah jaringan buat England setelah tandukannya susulan sepakan percuma hanya sedikit tersasar.

Giroud membuktikan dirinya mampu menjadi peledak berbisa buat Perancis apabila tandukannya selepas menerima hantaran jauh Antoine Griezmann berjaya menewaskan Pickford untuk sekali lagi memberikan kelebihan buat skuad kendalian Didier Deschamps itu.

England kemudiannya berpeluang untuk mengikat kedudukan pada minit ke-84 tetapi sepakan penalti yang diambil Kane sekadar meliar melewati palang gol.

Peluang keemasan yang disia-siakan kapten England itu menyaksikan Perancis mengesahkan tempat ke separuh akhir dalam usaha mereka untuk mengekalkan kejuaraan buat edisi kedua berturut-turut.