Pemain tengah Perancis, Adrien Rabiot menegaskan bahawa skuad kendalian Didier Deschamps itu tidak hanya bergantung kepada kemampuan hebat Kylian Mbappe dalam usaha untuk mengekalkan kejuaraan Piala Dunia.

Mbappe jelas memainkan peranan penting buat Perancis apabila telah menjaringkan lima gol setakat ini sekali gus menjadi pendahulu bagi senarai penjaring terbanyak dalam kejohanan di Qatar itu.

Keadaan tersebut sudah cukup untuk memberikan gambaran jelas bahawa Mbappe merupakan aset penting buat Perancis yang akan berdepan dengan England pada aksi suku akhir, awal pagi Ahad nanti.

Namun Rabiot yang turut menjaringkan satu gol pada aksi peringkat kumpulan berpendapat bahawa skuad Perancis mempunyai ramai pemain untuk memberikan sumbangan berkesan selain daripada Mbappe.

“Tiada kebergantungan terhadap seseorang pemain sahaja,” ujar Rabiot menurut laporan dikeluarkan FotMob.

“Dia [merujuk kepada Kylian Mbappe] merupakan senjata utama kami tetapi kami juga masih mempunyai pemain lain yang boleh untuk memberikan kelainan buat pasukan dengan cara lain.”

“Kami mengharapkan dia seperti semua pemain dalam kumpulan ini [Perancis]. Semua orang perlu untuk berada dalam keadaan sihat untuk berhadapan dengan England.”

Selepas mengharungi empat perlawanan termasuk aksi pusingan 16, Perancis sudah menjaringkan sembilan gol dengan Mbappe, Olivier Giroud [tiga gol) dan Rabiot menjadi penyumbang jaringan tersebut.

Manakala, Theo Hernandez bersama-sama Ousmane Dembele dan Kylian Mbappe telah menghasilkan dua bantuan jaringan. Manakala Rabiot, Antoine Griezmann dan Marcus Thuram masing-masing dengan satu bantuan gol.

Sumber