Nama Muhammad Asyraf Bin Khairuddin mungkin agak asing dalam kalangan peminat bola sepak tanah air kerana bekas pemain pertahanan skuad Kuala Lumpur, Felda United dan Selangor ini mengambil keputusan untuk bersara seawal usia 23 tahun.

Kariernya tidak bertahan lama kerana Asyraf memilih untuk memberikan fokus sepenuhnya terhadap pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Perakaunan di Universiti Tun Abdul Razak (Unirazak).

Namun, Asyraf yang kini berusia 31 tahun memiliki perjalanan karier bola sepak yang boleh dikatakan menarik juga untuk dikongsikan kepada semua.

Asyraf Khairuddin

Apa yang menarik tentang karier bola sepak Asyraf Khairuddin? 

Ketika impian besar para penyokong bola sepak tanah air pada ketika ini mahu melihat ramai bakat tempatan beraksi di luar negara atas kapasiti kualiti tinggi yang ada pada seseorang pemain tersebut, Asyraf sebenarnya hampir menandatangani kontrak bagi menyertai program remaja DC United pada tahun 2006.

Program tersebut juga telah melahirkan Freddy Adu yang sebelum ini disebut-sebut bakal menjadi pemain berkelas dunia.

Hanya pada usia 16 tahun, beliau sudah berjaya mencuri tumpuan barisan pencari bakat kelab Major League Soccer (MLS) itu dimana Asyraf telah ditawarkan kontrak selama tiga tahun dengan elaun mingguan bernilai $600.

Sebagai seorang remaja yang amat menggemari bola sepak dan menjadi impiannya untuk beraksi di luar negara membuatkan Asyraf tanpa teragak-agak menyatakan persetujuan untuk menyertai kelab itu sekali gus menandatangani kontrak tersebut.

Bagaimanapun, keterujaan Asyraf tidak bertahan lama apabila sebagai pemain di bawah umur 18 tahun, pihak kelab perlu mendapat persetujuan daripada ibu-bapa para pemain terlebih dahulu.

“Saya memang teruja sebaik sahaja diberikan tawaran tersebut, selepas saya memeterai kontrak bersama kelab tersebut, ibu saya diminta untuk ke Pejabat Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia bagi pengesahan [tandatangan] untuk memberikan kebenaran kepada saya bagi berhijrah ke sana.”

“Mungkin kerana saya terlalu muda pada ketika itu dan faktor saya baharu kehilangan ayah setahun sebelumnya, ibu mengambil keputusan untuk tidak membenarkan saya menyarung jersi DC United.”

“Sejujurnya memang sedih dengan keputusan itu tetapi restu dan doa seorang ibu adalah segala-galanya buat seorang anak dan saya menerima semuanya dengan hati yang terbuka,” ujar Asyraf bercakap kepada wakil Vocket FC.

Bagaimana peluang di DC United menjelma? 

Semuanya bermula selepas Asyraf mengemudi skuad bawah 15 tahun negara yang beraksi dalam Kejohanan Sekolah-Sekolah Asean 2005 di Bangkok, Thailand.

Sepanjang kejohanan itu berlangsung, terdapat barisan pencari bakat dari Amerika Syarikat (AS) memerhatikan kelibat pemain-pemain berkualiti untuk dibawa ke negara tersebut bagi menyertai Delegasi Remaja Piala Dunia yang memberikan fokus kepada negara-negara tidak beraksi dalam Piala Dunia 2006 di Jerman.

Aksi kemas ditampilkan membolehkan pasukan negara berjaya melayakkan diri ke separuh akhir dan lawan yang perlu ditentang ialah Korea Selatan.

Lebih menarik, Korea Selatan turut diperkuatkan dengan kehadiran bintang Tottenham Hotspur, Son Heung-min yang pada ketika itu baharu berusia 13 tahun tetapi kemampuannya begitu dikagumi Asyraf.

Meskipun skuad negara tumpas 0-2 pada perlawanan tersebut, Asyraf Khairuddin ada sebab tersendiri untuk tersenyum lebar selepas beliau menjadi salah seorang yang terpilih untuk ke Amerika Syarikat.

Asyraf Khairuddin
Asyraf bergambar kenangan bersama Freddy Adu.

Pengalaman di Amerika Syarikat

Setibanya di Amerika Syarikat, Asyraf bersama peserta lain telah dibawa ke DC United untuk mengikuti klinik bola sepak [juga bertindak sebagai pemilihan pemain] yang diadakan kelab tersebut. Susulan dengan klinik bola sepak tersebut membolehkan Asyraf berlatih bersama Freddy Adu.

Melihatkan kepada kemampuan baik ditampilkan Asyraf, beliau bersama empat lagi pelatih program tersebut telah diberikan peluang untuk menjalani latihan bersama skuad bawah 17 tahun Amerika Syarikat.

Kemuncak program tersebut menyaksikan Asyraf membarisi pasukan remaja DC United menentang Eintracht Frankfurt di Jerman yang mana kelab Amerika Syarikat itu berjaya mencatatkan kemenangan 2-1.

Berikutan dengan kemampuan tinggi dibuktikan Asyraf pada perlawanan persahabatan itu juga sekali gus menjurus kepada tawaran kontrak yang diberikan oleh DC United.

Dalam pada itu, Asyraf turut berkongsikan serba sedikit tentang perbezaan yang dinikmatinya sewaktu mengikuti program serta latihan di sana.

“Kalau kita nak cakap tentang penekanan sains sukan, fasiliti serta pengambilan nutrisi di sana memang amat jauh berbeza dengan Malaysia.”

“Perkara-perkara sedemikian perlu untuk menjadi keutamaan buat pasukan-pasukan tempatan untuk mencapai sesuatu yang lebih baik dalam memacu perkembangan bola sepak tanah air.”

Langkah seterusnya buat Asyraf Khairuddin?

Sebaik sahaja pulang ke tanah air, Asyraf kemudiannya berpindah dari Victoria Institution ke Sekolah Sukan Bukit Jalil dan beliau terpilih untuk membarisi skuad bawah 17 tahun kebangsaan di bawah kendalian Razip Ismail.

Selepas beberapa musim dalam saingan Liga Malaysia, beliau akhirnya menggantung but pada tahun 2013 dimana Selangor menjadi pasukan terakhirnya.

Meninggalkan bola sepak bukanlah segalanya buat Asyraf apabila kini bergelar Pengurus Kewangan di sebuah bank terkemuka tanah air serta mengusahakan beberapa perniagaan miliknya sendiri.