Kelab Bola Sepak TRW Kelantan mengejutkan peminat bola sepak tempatan apabila mengumumkan ketua jurulatih pasukan itu, Choi Moon Sik telah direhatkan bermula perlawanan Liga Super menentang Terengganu semalam.

Mereka juga telah melantik Rezal Zambery Yahya sebagai jurulatih sementara namun tidak berjaya membawa pasukan mengutip sebarang mata apabila tewas 0-5 di Stadium Sultan Mizan.

Choi Moon Sik juga merupakan jurulatih pertama yang direhatkan dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

Pengurusan TRW Kelantan dijangka akan mengumumkan ketua jurulatih baharu dan nama Frank Bernhardt disebut-sebut sebagai pengganti selepas dilantik sebagai Pengarah Teknikal yang baharu minggu lepas.

Bagaimanapun, ada cerita yang kurang enak mengenai pemecatan Choi Moon Sik didedahkan oleh ejennya dari Korea Selatan, Leo Jeong menerusi laman instagram.

“Pasukan Kelantan telah mengumumkan perletakan jawatan jurulatih (Choi Moon Sik) tanpa berbincang dengan Moon Sik dan saya. Kami benar-benar kecewa,” tulis Leo Jeong di ruang komen instagramnya.

Menurut ejen tersebut, pengurusan pasukan TRW Kelantan lebih teruk daripada pasukan amatur kerana memilih sendiri pemain tanpa berbincang dengan ketua jurulatih.

Malah, beliau turut mendedahkan terdapat pemain mempunyai tunggakan gaji selama dua bulan dan mahu membuat aduan rasmi kepada Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA).

“Pasukan ini nampak hebat dari luar tetapi bahagian dalaman mereka lebih teruk daripada pasukan amatur.

“Mereka telah memecat jurulatih dan memilih pemain untuk perlawanan hari ini dan sebelum ini tanpa merujuk kepada ketua jurulatih (Choi Moon Sik).

“Tambahan pula, ada pemain tidak menerima gaji selama dua bulan dan ketika perlawanan di tempat lawan (away), mereka menaiki bas lebih 10 jam dan langsung tidak diberi makan.

“Semuanya seperti pasukan amatur tetapi jurulatih telah melakukan yang terbaik,” tulis Leo Jeong di laman instagramnya.

Leo Jeong dedahkan pihaknya sedang menyediakan dokumen untuk heret TRW Kelantan ke FIFA.

TRW Kelantan sebelum ini pernah berdepan 6 kes FIFA membabitkan tunggakan gaji pemain import. Namun, semua tunggakan tersebut berjaya diselesaikan selepas kelab diambil alih oleh Norizam Turkiman atau dikenali sebagai ZamSaham.