Bekas ketua jurulatih skuad B-23 Tahun negara, Frank Bernhardt kembali semula ke Liga Malaysia apabila dilantik sebagai Pengarah Teknikal TRW Kelantan FC untuk memacu pasukan itu ke arah lebih baik.

Menurut kenyataan rasmi, beliau akan menggantikan tempat Nasir Yusuf berbekalkan pengalaman sebagai ketua jurulatih bersama Skuad U23 Malaysia dan memililiki sijil kejurulatihan UEFA Pro daripada German Sport University di Cologne.

Beliau juga adalah merupakan bekas pemain kelab Werder Bremen pernah menjadi Pengarah Teknikal Estonia FA ( 2007 – 2012 ) dan Azerbaijan FA ( 2014 – 2017 ).

“Untuk makluman , perlantikan Pengarah Teknikal adalah salah satu syarat wajib dalam perlesenan kelab di bawah MFL. Beliau akan bertanggungjawab sepenuhnya memantau dan menilai unit kejurulatihan serta hal-hal yang berkaitan teknikal pasukan,” kata kenyataan rasmi TRW Kelantan.

Kali terakhir Frank Bernhardt terlibat dalam saingan Liga Super ialah pada musim 2021 ketika beliau membimbing UiTM FC dimana beliau direhatkan oleh penguruskan pasukan pada bulan Ogos setelah mempamerkan prestasi kurang memberangsangkan.

Ketika itu, UiTM mengalami enam kekalahan dan satu seri dalam tujuh perlawanan Liga Super sekaligus meletakkan mereka di tangga tercorot sekaligus berada dalam zon penyingkiran.

Prestasi yang ditampilkan oleh UiTM pada musim 2021 jauh berbeza dengan ketika musim 2020 dimana pasukan itu menamatkan saingan Liga Super di tangga keenam, satu pencapaian yang dikategorikan cemerlang dengan bajet terhad dan juga kekurangan pemain bintang dalam pasukan.

UiTM juga berjaya mara ke peringkat suku akhir Piala Malaysia musim ini setelah menewaskan Kelantan dengan keputusan 3-2 di peringkat 16 pasukan terakhir. Namun mereka terpaksa melupakan perjalanan mereka kerana saingan tersebut dibatalkan ekoran penularan COVID-19 yang melanda negara ketika itu.

Pengurusan pasukan ketika itu gembira dengan prestasi pasukan dan menawaran kontrak lanjutan selama dua musim kepada Bernhardt dan jurulatih dari Jerman itu menolak beberapa tawaran dari pasukan lain seperti seperti Pahang, Melaka, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.