Pemain Terengganu dilaporkan mengalami gangguan fokus dan motivasi mereka terjejas selepas dua aksi saingan Liga Super 2022 menentang Sri Pahang dan Negeri Sembilan dan satu perlawanan Piala FA ditunda.

Perkara ini dikongsikan oleh wartawan Astro Arena, Syakirah Zulkifly dimana ketua jurulatih, Nafuzi Zain sudah mempunyai solusi untuk mengatasi masalah ini.

Nafuzi akan memberikan cuti kepada para pemain selama empat hari selepas menghadapi aksi persahabatan menentang Terengganu II pada hari ini.

Selain itu, Nafuzi dan staf kejurulatihan akan merancang beberapa lagi perlawanan persahabatan bagi memastikan tahap kecergasan pemain berada dalam keadaan terbaik.

Sebelum ini, pengelola liga, Malaysian Football League (MFL) telah menunda perlawanan antara Terengganu menentang Sri Pahang di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada 5 Mac lalu selepas skuad Sri Pahang disahkan positif COVID-19.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam, pihaknya telah menerima laporan daripada wakil Pantai Timur itu di mana seramai 20 pemain dan pegawai telah dijangkiti COVID-19.

Seterusnya, aksi menentang Negeri Sembilan juga terpaksa dibatalkan kerana penularan wabak COVID-19 yang melibatkan pemain dan pegawai pasukan.

“Satu lagi perlawanan yang bakal menemukan kedua-dua pasukan dalam saingan Piala FA pada 13 Mac 2022 juga terpaksa ditunda ke satu tarikh yang baharu akibat perkara ini. Ianya satu keputusan yang sememangnya mengecewakan dan akan menjejaskan persediaan pasukan Terengganu FC secara keseluruhannya,” dipetik dari kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak kelab.

Stuart Ramalingam juga berkata pihaknya bercadang untuk membatalkan saingan Piala FA sekiranya penularan dalam pasukan yang mengambil bahagian dalam musim ini menjadi tidak terkawal.

“Antara langkah awal yang boleh diambil adalah, jika kami terpaksa membatalkan
mana-mana pertandingan, maka saingan Piala FA akan digadaikan demi kelangsungan saingan Liga Super, Liga Perdana, Piala Malaysia dan pasukan kebangsaan.

“Keputusan itu perlu ditentukan ahli lembaga pengarah dan itulah yang boleh kami lakukan seandainya rentak pada minggu pertama ini berlarutan sehingga minggu ketiga atau keempat,” katanya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia musim 2022 di sini:

Ong Kim Swee: Pemain Sabah Perlukan Masa Untuk Serasi

JDT Bakal Naik Taraf Padang Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos

Terengganu Bantah Waktu Sepak Mula 8.15 Malam, Mahu MFL Tukar Kepada 9.00 Malam