Pemain muda Selangor TOT United, Muhammad Haiqal Hasnor dan Khairul Sukri mendapat pendedahan berguna ketika kelab tersebut tiada sebarang perlawanan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2023 sehingga Hari Raya Aidilfitri apabila telah dibawa ke Bangkok untuk menimba pengalaman bersama Bluewave Chonburi bermula hari ini hingga 21 Mac nanti.

Perkembangan terkini itu disahkan Selangor TOT United menerusi satu hantaran yang dimuatnaik di laman sosial kelab tersebut, malam tadi.

Seperti diketahui, Thailand merupakan kuasa besar futsal di Asia dan tidak pernah ketinggalan untuk menyertai Piala Dunia Futsal sejak tahun 2000.

Malah, saingan liga di Thailand juga begitu kompetitif serta dikendalikan dengan cukup sistematik sehingga lahirnya beberapa kelab gergasi seperti Bluewave Chonburi, Port FC, Hongyen Thakam, Bangkok BTS dan Black Pearl United.

Difahamkan sehingga 21 Mac, Haiqal dan Khairul akan turut serta dalam semua sesi latihan Bluewave Chonburi yang kini dibimbing oleh ketua jurulatih baharu dari Sepanyol, Luis Bernat Molina.

Peluang keemasan yang bakal dinikmati perlu digunakan sepenuhnya oleh kedua-dua pemain muda ini kerana bukan sahaja latihan di sana lebih berintensiti tinggi.

Malah, Bluewave Chonburi turut memiliki beberapa pemain yang sudah merasai pengalaman beraksi di pentas Piala Dunia seperti Suphawut Thueanklang, Apiwat Chaemcharoen, Peerapat Kaewwilai, Ronnachai Jungwongsuk, Warut Wangsama-Aeo dan Panut Kittipanuwong.

Hubungan erat pastinya bakal dapat disaksikan antara Selangor TOT United dan Bluewave Chonburi kerana Patt Sriwijit (ketua jurulatih Selangor TOT United) cukup sinonim serta bukanlah asing dengan kelab gergasi Thailand itu.