Dua lagi tonggak utama skuad futsal kebangsaan dijangka akan menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT) yang akan membuat penampilan sulung dalam Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2023.

Kehadiran JDT dalam kancah MPFL menarik untuk diperkatakan kerana sudah pasti ia dapat menarik minat ramai pemain berkualiti ke dalam pasukan tersebut.

Meskipun masih berahsia dan tiada sebarang pengumuman rasmi mengenai barisan pemain yang akan memperkuatkan pasukan, JDT pada ketika ini dikatakan sedang giat mengumpul nama-nama besar.

Skuad Harimau Selatan itu dilaporkan sudah pun mendapatkan khidmat beberapa pemain utama daripada pasukan juara dua kali berturut-turut, Selangor MAC.

Barisan terkini skuad futsal negara ketika menghadapi Sukan SEA 2021 di Vietnam. Kredit Foto: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)

Menurut sumber Arena Futsal Malaysia, dua pemain tonggak skuad kebangsaan yang dimaksudkan beraksi bersama salah sebuah kelab daripada pantai timur.

Petunjuk itu mudah untuk memberikan isyarat jelas  bahawa dua pemain tersebut merupakan nadi kepada kekuatan Pahang Rangers.

Sekiranya dilihat senarai pemain kebangsaan yang berada dalam skuad Pahang Rangers pada ketika ini, mereka ialah Ridzwan Bakri, Awalluddin Mat Nawi, Abu Haniffa Hassan, Saiful Nizam Mohd Ali dan Muhammad Farhan Khairul Anuar.

Sesuatu yang membuatkan ramai pihak berteka-teki menantikan siapakah gerangan dua pemain tersebut untuk melangkah keluar meninggalkan Pahang Rangers sekali gus meneruskan perjalanan karier ke JDT.

Sementara itu dalam perkembangan lain, difahamkan JDT akan membawa masuk ketua jurulatih yang berpengalaman luas dalam saingan Liga Futsal Sepanyol untuk membimbing kelab tersebut.