Follow Untuk Isu-isu Viral Kemaskini Terkini

Selepas sekian lama, peminat setia Johor Darul Ta’zim (JDT) akhirnya menerima berita gembira apabila kelab tersebut bakal tubuhkan pasukan Futsal untuk bertanding dalam Liga Futsal Malaysia (MPFL) mulai tahun depan.

Perkembangan itu diumumkan sendiri menerusi laman sosial Johor Southern Tigers hari ini.

“Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) akan membentuk satu pasukan futsal pada tahun 2023.

“Satu jabatan futsal akan ditubuhkan di JDT terdiri dari kakitangan teknikal dan para pemain khusus bagi memastikan futsal Harimau Selatan berada pada tahap yang tertinggi,” tulis kenyataan rasmi.

Suatu ketika dahulu, Johor pernah dianggap sebagai salah satu kuasa besar futsal di Malaysia, namun sejak 15 tahun lalu iaitu selepas muncul juara Liga Futsal Kebangsaan 2007, pasukan ini tiba-tiba hilang daripada peta futsal tanah air.

Malah, negeri itu sendiri mempunyai ramai bakat yang hebat dalam sukan Futsal kerana kebanyakan pemain futsal kebangsaan berasal dari Johor seperti Saiful Nizam (Pahang Rangers), Azri Rahman (Selangor MAC) dan Ekmal Shahrin (Selangor Mac).

Johor juga pernah muncul sebagai juara futsal SUKMA pada tahun 2011 selepas menewaskan Negeri Sembilan 1-0.

Kehadiran semula pasukan futsal JDT bakal memberikan saingan sengit dalam Liga Futsal Malaysia musim depan terutama kepada dua pasukan gergasi seperti Selangor Mac dan Pahang Rangers.

Sejak dijenanamakan sebagai Malaysia Premier Futsal League (MPFL) pada tahun 2019, Selangor Mac menjuarai liga sebanyak 2 kali termasuk tahun ini. Tahun 2020 dan 2021 saingan liga tidak dapat dijalankan disebabkan oleh wabak COVID-19 yang melanda seluruh dunia.

Menarik untuk disaksikan siapakah barisan jurulatih dan pemain yang bakal menyertai pasukan futsal JDT pada tahun depan. Ianya pasti ditunggu-tunggu oleh peminat futsal tempatan.