Pengendali Sri Pahang FC, Dato’ Dollah Salleh menganggap perubahan peraturan ‘Away Goal’ yang dilakukan Malaysian Football League (MFL) sebagai sesuatu yang lebih adil kepada pasukan.

Malah, tindakan yang dibuat MFL itu seiring serta mengikut arus dengan perubahan di bola sepak antarabangsa sambil memudahkan pemahaman pemain serta peminat.

Dollah mengakui, beliau menyambut baik perkara berkenaan sambil menjadikan kekalahan mereka di tangan Kedah pada peringkat separuh akhir Piala Malaysia 2019 sebagai satu contoh terbaik mengapa peraturan jaringan di laman lawan sebagai tidak relevan.

“Baguslah tentang apa perubahan yang dibuat MFL, ini satu keputusan yang sangat baik kerana saya dari dulu memang tidak gembira dengan peraturan gol di tempat lawan ini yang banyak menimbulkan kekeliruan.

“Masih ingat lagi bagaimana kami kalah dengan Kedah dulu hanya disebabkan jumlah jaringan di tempat lawan, rasa memang sakit hati walaupun atas kertas, angka jaringan adalah sama.

“Malah punca Dickson meraikan jaringan tersebut adalah kerana menyangkakan kelebihan jaringan di tempat lawan sudah tidak diambil kira selepas waktu tambahan seperti mana peraturan ditetapkan AFC namun yang sebaliknya terjadi.

“Satu lagi, jaringan di tempat lawan ini ada kalanya mengganggu psikologi pemain jika mereka dalam situasi ketinggalan ketika beraksi di tempat sendiri yang sedikit sebanyak turut memberikan kesan kepada perancangan jurulatih, ” ujar Dollah Salleh.

Pada Rabu, MFL mengumumkan pengelola Liga Malaysia itu telah memansuhkan kelebihan jaringan di tempat lawan (Away Goal) dalam kejohanan kalah mati selaras dengan perubahan terkini AFC dan UEFA.

Perkara itu berdasarkan Artikel 2.6.3(iv)(vi) Peraturan Pertandingan dalam Manual Liga Malaysia di mana ia adalah peraturan semasa untuk menentukan kelab pemenang dalam pertandingan kalah mati merangkumi peraturan Away Goal.

Justeru MFL telah memutuskan untuk menyelaraskan peraturan dengan memansuhkan peraturan kelebihan ‘Away Goal’ dalam kejohanan kalah mati di mana perubahan peraturan ini bermakna bahawa perlawanan yang terikat secara agregat selepas 180 minit timbal balik, akan dilanjutkan ke masa tambahan selama 30 minit.

Dan jika kedua-dua pasukan masih terikat, maka pemenang perlawanan akan ditentukan menerusi sepakan penalti.

Ini bermakna pemansuhan peraturan tersebut akan berkuatkuasa dalam kejohanan TM Piala Malaysia 2022 yang bakal membuka tirai pada 26 dan 27 Oktober 2022.