Malaysian Football League (MFL) mengumumkan bahawa pengelola Liga Malaysia itu telah memansuhkan kelebihan jaringan di tempat lawan (Away Goal) dalam kejohanan kalah mati berkuatkuasa pada hari ini selaras dengan perubahan terkini AFC dan UEFA.

“Berdasarkan Artikel 2.6.3(iv)(vi) Peraturan Pertandingan dalam Manual Liga Malaysia di mana ia adalah peraturan semasa untuk menentukan kelab pemenang dalam pertandingan kalah mati merangkumi peraturan Away Goal.

“Pada 24 Jun 2021, UEFA telah membuat keputusan untuk memansuhkan peraturan jaringan tempat lawan bermula musim 2021/2022 sementara pada 1 Ogos 2022 pula, AFC telah memaklumkan keputusan untuk memansuhkan peraturan Away Goal bermula musim hadapan.

“Justeru MFL telah memutuskan untuk menyelaraskan peraturannya dengan perubahan terkini AFC dan UEFA dengan memansuhkan peraturan kelebihan ‘away goal’ dalam kejohanan kalah mati di mana perubahan peraturan ini bermakna bahawa perlawanan yang terikat secara agregat selepas 180 minit timbal balik, akan dilanjutkan ke masa tambahan selama 30 minit.

“Jika kedua-dua pasukan masih terikat, maka pemenang perlawanan akan ditentukan menerusi sepakan penalti,” kata MFL dalam satu kenyataan rasmi hari ini.

Ini bermakna pemansuhan peraturan tersebut akan berkuatkuasa dalam kejohanan TM Piala Malaysia 2022 yang bakal membuka tirai pada 26 dan 27 Oktober 2022.

Sebagai rekod, Kuala Lumpur merupakan juara bertahan saingan selepas menundukkan Johor Darul Ta’zim (JDT) 2-0 pada aksi final edisi lalu.