Pemain pertahanan Vietnam, Doan Van Hau menganggap pemain tengah Indonesia, Marc Klok sebagai ‘pelakon drama’ setelah juara 2018 itu berjaya menewaskan skuad Garuda pada perlawanan separuh akhir kedua saingan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 di Stadium My Dinh pada semalam.

Seperti biasa, Van Hau terlibat dalam insiden panas dan pergaduhan dengan pemain Indonesia dimana beliau mengasari Asnawi Mangkualam dan menjatuhkan Klok pada separuh masa kedua namun pengadil dari Jepun, Yusuke Araki tidak memberikan sepakan penalti kepada skuad bimbingan Shin Tae-yong.

Selepas permainan tamat, Van Hau kemudiannya mengkritik tindakan Klok yang menjatuhkan badan dengan mudah dalam usaha untuk mencari sepakan penalti dan menyebabkan pemain itu dilayangkan kad kuning.

“Dia (Marc Klok) bagaikan seorang pelakon drama. Saya tak peduli dengan dia ataupun tindakannya di atas padang,” kata Doan Van Hau menurut laporan Main Stand International.

Ketika ditanya sama ada mahu berdepan Thailand atau Malaysia di pentas final, pemain berusia 25 tahun itu tidak peduli lawan mana yang akan dihadapi oleh Vietnam nanti.

“Saya tak kisah sama ada Thailand atau Malaysia. Tak kira pasukan mana yang kita akan hadapai di perlawanan akhir nanti, apa yang penting ialah bagaimana kita mempersiapkan diri menjelang perlawanan tersebut,” tambahnya.

Sebelum ini, ketua jurulatih Vietnam, Park Hang-seo mempertahankan persembahan ‘nakal’ yang ditampilkan oleh Van Hau dalam saingan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022.

“Semangat pemain Vietnam telah merasuk seluruh pasukan. Setiap pemain akan melangkah ke dalam padang seperti pejuang, memberikan segalanya dan tidak mudah untuk menyerah kalah. Stadium My Dinh akan menjadi saksi kami mencipta sejarah,” kata Park Hang-seo.

Van Hau menjadi sorotan peminat bola sepak Asia Tenggara selepas aksi kotornya ketika menentang Malaysia dalam saingan peringkat kumpulan dan juga Indonesia. Pemain itu melakukan kekasaran ke atas salah seorang pemain Indonesia, Dendi Sulistyawan ketika perlawanan di Stadium Gelora Bung Karno.

Ketika aksi kumpulan B menentang Malaysia, Azam Azmi Murad menjadi mangsa terawal Van Hau sehingga menyebabkan pemain Terengganu itu dilayangkan kad merah oleh pengadil.

Van Hau menyiku Azam di bahagian dada pada separuh masa pertama namun pengadil ketika perlawanan tersebut, Ryuji Sato tidak melayangkan sebarang kad dan tidak memberikan sepakan penalti kepada Malaysia.