Seperti diketahui Jepun merupakan antara kuasa besar badminton dunia dengan kehadiran pemain-pemain berkelas dunia seperti Kento Momota, Takuro Hoki, Yugo Kobayashi, Akane Yamaguchi, Nami Matsuyama, Chiharu Shida dan ramai lagi.

Kini hadir pula Kodai Naraoka dan Koki Watanabe yang dilihat mampu untuk menyerlahkan lagi kemampuan hebat mereka terutamanya Kodai yang baharu berusia 21 tahun.

Dalam kejohanan berpasukan juga Jepun nyata menjadi antara pencabar terhebat buat pasukan China dan Indonesia sehingga menyaksikan mereka turut pernah bergelar juara Piala Thomas dan Piala Uber.

Bagi Piala Sudirman pula, skuad yang dibimbing ketua jurulatih, Park Joo Bong itu berjaya melangkah ke tiga perlawanan akhir bagi empat edisi terakhir, namun kesemuanya tumpas di tangan China.

Menjadi lumrah dalam penghasilan pemain berkualiti tinggi itu akan ada methodologi yang digunapakai sehingga Jepun sentiasa menghasilkan pemain berpotensi besar saban tahun.

Disiplin tinggi dan ketegasan menjadi asas utama

Menurut Salim Samion, jurulatih kelahiran Malaysia yang pernah menabur bakti di negara matahari terbit itu kepada wakil Vocket FC, beliau melihat disiplin tinggi diterapkan para pemain menjadi antara faktor dalam membantu perkembangan hebat pemain di sana.

Dengan budaya yang sangat berdisiplin dan tegas diterapkan sejak dari kecil, para pemain akan sentiasa patuh dan menghormati jurulatih sekali gus seorang jurulatih itu menjadi lebih selesa kerana secara automatiknya pemain telah didedahkan dengan disiplin menepati waktu, kerja kuat, dan segala perkara asas dan budaya hidup orang Jepun.

Menurut beliau lagi, sukan jelasĀ  memainkan peranan penting dalam kehidupan moden Jepun. Sejak kecil kanak-kanak menyertai pasukan sekolah, menanamkan rasa setiakawan, bangga, kerja keras dan dedikasi.

Setiap perjalanan hidup orang Jepun, mereka harus meninggalkan kesan sepanjang hayat dan perlu membanggakan bidang yang mereka ceburi.

Sekiranya mereka mengalami kekalahan dalam satu-satu perlawanan, mereka lebih sedih kerana gagalkan jurulatih dan persatuan mereka berbanding diri sendiri. Selain itu kita juga sudah mengetahui bahawa orang Japan sebagai seorang yang sentiasa mempamerkan kesopanan dan kerendahan diri.

Boleh dilihat ketika Piala Dunia 2022 di Qatar tempoh hari, selepas selesai pasukan Japan bermain, mereka mengutip sampah dalam stadium kerana tidak mahu nama negara yang mereka bawa tercemar.

Perkara itu jika disaksikan di sekolah rendah pula, seawal permulaan sekolah untuk beberapa tahun mereka akan lebih diajarkan cara dan budaya Jepun berbanding dengan pelajaran.

Jadi kita dapat lihat seawal usia remaja orang Jepun sudah menyediakan waris-waris mereka untuk sentiasa mempunyai kredibiliti sesuai dengan tradisi mereka.

Gandingan Takuro Hoki-Yugo Kobayashi merupakan juara dunia 2021 di Huelva, Sepanyol. Kredit Foto: Nippon Badminton Association

Mengapa aspek disiplin diri dan sikap orang Jepun jadi keutamaan Salim?

Salim berpendapat sedemikian kerana sebagai seorang jurulatih sudah berkelana ke serata dunia dalam bidang kejurulatihan, beliau merasakan pemain-pemain badminton Jepun yang sudah mencapai taraf sebagai pemain negeri atau skuad kebangsaan B tidak perlu untuk bermula dengan belajar sesuatu daripada bawah atau kosong.

Hal ini kerana mereka sudah disiapkan untuk segala perkara asas untuk menjadi seorang atlet sejak daripada dari kecil lagi.

Sehubungan dengan itu, Salim mendedahkan lebih banyak menghabiskan kualiti masa beliau untuk modul atau program dan pelajaran dalam gelanggang sahaja dan begitu kecil peratus untuknya bagi memberi tumpuan mengenai sikap atau masalah para pemain.

Bukan mudah untuk bergelar pemain badminton skuad kebangsaan Jepun

Dalam sistem awal badminton di Japan, ia bermula daripada sekolah kepada kelab kemudiannya peringkat ‘Perfecture’ dan seterusnya sekolah menengah.

Menurut Salim, peringkat sekolah menengah merupakan lapisan paling penting kerana mereka yang bercita-cita untuk menjadi pemain terbaik Jepun perlu mendapatkan keputusan sangat bagus bagi diserapkan masuk ke universiti mempunyai kepakaran atau mahsyur dalam sukan badminton.

Pengambilan pemain ke universiti-universiti tersebut juga sangat tegas melalui sukan masing masing. Keadaan itu membuktikan bahawa universiti jelas memainkan peranan sangat besar buat para pemain dan boleh dianggap sebagai perantara untuk membawa seseorang pemain badminton itu ke skuad kebangsaan.

Sementara itu apabila sudah memasuki peringkat universiti, para pemain akan menghadapi kejohanan ‘All Japan University’ dimana jumlah pemain yang terlibat adalah dalam skala begitu besar.

Ada ketika acara perseorangan sahaja disertai oleh 256 orang peserta dan kemudiannya pemain yang layak ke suku akhir (lapan orang pemain) bakal mendapat peluang untuk percubaan manakala hanya juara kejohanan sahaja akan ditawarkan menyertai program di bawah Persatuan Badminton Jepun.

Ia jelas menunjukkan betapa sukar buat seseorang pemain untuk menyertai skuad kebangsaan Jepun. Ini juga kerana sekiranya pemain hendak bertanding dalam sesuatu pertandingan antarabangsa, pemain itu wajib datangnya daripada persatuan sahaja.

Tidak ada istilah pemain professional untuk menyertai kejohanan antarabangsa seperti International Series. Daripada situ mereka amat menitikberatkan dalam menjaga kualiti pemain yang keluar menyertai sebarang pertandingan.