Perjuangan kem Malaysia dalam kejohanan Indonesia Masters 2023 terhenti di separuh akhir apabila beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah tewas pada aksi berlangsung di Istora Gelora Bung Karno, Indonesia sebentar tadi.

Wakil tunggal negara itu tunduk ditangan bekas pasangan nombor satu dunia dari Jepun, Yuki Fukushima-Sayaka Hirota 14-21, 19-21.

Pertemuan kelima melibatkan kedua-dua pasangan itu memperlihatkan penguasaan lebih baik ditampilkan oleh Yuki-Sayaka terutamanya pada set pertama.

Segalanya berjalan lancar buat mereka apabila tidak berdepan masalah untuk mencatatkan kemenangan 14-21.

Pearly-Thinaah kemudiannya memperkemaskan aksi pada set kedua untuk mendapatkan kelebihan 11-6 pada ‘interval’.

Namun, rentak cemerlang itu tidak mampu dipertahankan Pearly dan Thinaah apabila pasangan Jepun itu mempamerkan kebangkitan pada lewat aksi sekali gus berjaya memastikan kemenangan 21-19.

Meskipun ia bukanlah satu kejayaan buat Pearly Tan dan Thinaah tetapi keupayaan mara ke separuh akhir bagi dua kejohanan berturut-turut membuktikan mereka mampu menjadi sandaran buat negara untuk memberikan saingan sengit kepada pesaing lain.

Menanti Yuki Fukushima-Sayaka Hirota di perlawanan akhir yang berlangsung esok ialah Liu Sheng Shu-Zhang Shu Xian.

Pasangan dari China itu mara ke final selepas menundukkan Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai 21-11, 21-9 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Cabaran pemain negara akan bersambung pada Selasa nanti apabila kejohanan Thailand Masters dengan status Super 300 diadakan di Nimibutr Stadium, Bangkok.