Pemain pertahanan pasukan negara, Dion Cools mendedahkan sebab utama mengapa beliau meninggalkan kancah bola sepak Eropah dan menyertai kelab Thailand, Buriram United.

Dion memutuskan untuk beraksi di Thailand meskipun menampilkan prestasi yang baik bersama kelab Liga Republik Czech, FK Jablonec.

Selepas membantu Buriram menewaskan Muangthong United dalam saingan Piala Liga Thailand, pemain berusia 26 tahun itu mensedahkan mengapa beliau sanggup meninggalkan Jablonec dan beraksi di Thailand.

Dion Cools
Sumber Gambar: Buriram United

“Buriram adalah kelab terbesar di Asia dan saya ketika itu bergelar ejen bebas. Jadi perpindahan ini adalah perkara baik untuk saya.

“Buriram percaya dengan saya. Mereka sudah lama berminat untuk mendapatkan khidmat saya, jadi perkara itu yang meyakinkan saya agar berhijrah ke sini,” kata Dion Cools.

Ketika ditanya mengenai pendapat peminat bola sepak negara yang menganggap beliau downgrade dengan beraksi di Thailand, Dion berkata dia mahu menikmati bola sepak di mana saja beliau bermain.

“Saya mahu menikmati bola sepak, tak kira dimana saya beraksi sama ada Eropah atau Asia. Saya menikmati setiap saat. Bagi saya, saya berpuas hati dengan apa yang saya lakukan.

“Saingan Liga Thailand tidak terlalu fizikal, dengan pemain dan jurulatih yang berbeza berbanding di Eropah. Tetapi mereka mempunyai kualiti yang baik, mereka mempunyai ramai pemain yang memiliki teknikal bagus,” ujarnya.

Tambah Dion, beliau gembira di Buriram dan tidak melihat sebarang kemungkinan untuk meninggalkan kelab itu walaupun ada tawaran dari kelab Liga Malaysia dalam masa terdekat.

“Saya suka berada di Asia. Keluarga saya suka berada di sini. Saya dan keluarga akan melawat Malaysia sebanyak mungkin sekiranya ada masa terluang.

“Saya ketika ini memberikan fokus sepenuhnya di Thailand dan saya amat gembira beraksi di sini,” tambahnya.

Dion Cools diturunkan dalam kesebelasan utama dan beliau membantu Buriram menewaskan pasukan itu dengan keputusan 2-1 sekaligus mara ke peringkat suku akhir. Ini merupakan penampilan kali kedua dalam aksi kompetitif bersama Buriram dimana beliau diturunkan ketika menentang Sukhotai minggu lalu.