Pemain pertahanan skuad kebangsaan, Diok Cools membuat penampilan pertama bersama kelab baharunya, Buriram United dimana beliau diturunkan pada aksi saingan Thai League menentang Sukothai baru-baru ini.

Ketua jurulatih Buriram, Masatada Ishii menurunkan Cools dalam kesebelasan utama dan pemain berusia 26 tahun itu bermain selama 90 minit dalam kemenangan 3-0 di laman lawan.

Cools beraksi dengan baik dimana beliau menampilkan gandingan mantap bersama Rebin Sulaka dan Chitipat Tanklang di bahagian pertahanan sekaligus memastikan Buriram meraih clean sheets dalam perlawanan tersebut.

Kecemerlangan bekas pemain FK Jablonec dan Club Brugge itu berjaya meyakinkan pengelola liga untuk meletakkan beliau dalam kesebelasan mingguan terbaik bagi minggu perlawanan ke-16.

Selain Dion Cools, antara pemain yang tersenarai dalam anugerah mingguan itu ialah Joshua Grommen (Khon Kaen United), Hamilton (Port FC), Danilo Almeida Alves (Chonburi) dan Eric Johana (Muangthong United).

Selain Dion, seorang lagi pemain negara iaitu Safawi Rasid turut membuat penampilan pertama bersama kelab barunya dimana beliau diturunkan ketika aksi Ratchaburi menentang Khon Kaen United.

Safawi bermula di bangku simpanan dan beliau dimasukkan pada separuh masa kedua namun Ratchaburi tewas dengan keputusan 2-0 dalam aksi tersebut.

Safawi hampir menjaringkan gol pertamanya namun VAR menafikan jaringan bekas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu kerana ada rakan sepasukan yang berada di kedudukan ofsaid.