Ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Tan Cheng Hoe wajar untuk mempertimbangkan penyerang Petaling Jaya City, Darren Lok untuk disenaraikan bagi memperkuatkan jentera serangan negara pada saingan Piala AFF Suzuki 2020 yang akan bermula 5 Disember ini.

Darren menjadi antara penyerang tempatan yang menampilkan prestasi terbaik dalam saingan Piala Malaysia musim ini dimana beliau telah menjaringkan 3 gol dalam empat perlawanan kumpulan D yang dihadapi setakat ini.

Sebelum ini, Darren juga menampilkan prestasi cemerlang dalam saingan Liga Super apabila beliau menjaringkan tiga gol pada lima perlawanan awal sekaligus menjadi nama yang disebut-sebut untuk beraksi bersama pasukan kebangsaan pada saingan peringkat kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Namun, kecederaan serius yang dialami menyebabkan bekas pemain Terengganu itu terpaksa berehat panjang sekaligus terlepas peluang untuk beraksi bersama pasukan negara.

Darren Lok pulih sepenuhnya dari kecederaan yang dialami dan beliau kembali beraksi sekitar bulan Ogos lalu dan pemain itu serta-merta menjadi nadi utama PJ City dalam saingan Piala Malaysia musim ini.

Kali terakhir pemain berusia 30 tahun itu menyarung jersi skuad kebangsaan ialah pada 2017 dan satu-satunya gol yang dihasilkan oleh beliau ialah pada aksi persahabatan menentang Syria di Stadium Hang Jebat.

Tidak dinafikan penyerang sedia ada seperti Guilherme De Paula dan Syafiq Ahmad menampilkan prestasi yang kurang memberangsangkan pada aksi kelayakan pusingan kedua serta dua perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Jordan dan Uzbekistan bulan lalu.

Kehadiran Darren dilihat boleh memberikan pilihan yang lebih banyak kepada Cheng Hoe selain menambah ketajaman di bahagian serangan pasukan negara.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia di sini:

Brad Maloney: Pintu Sentiasa Terbuka Untuk Pemain Lain

JDT:”Marshall Berdiri Membentuk ‘Human Barricade’, Marshall Diberi Amaran Kerana Menonton Perlawanan.”

Piala Malaysia 2021: Atasi Sabah, JDT Sahkan Kemaraan Ke Suku Akhir