Calon pilihan juara, Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak berdepan masalah untuk mengesahkan tempat ke peringkat suku akhir TM Piala Malaysia 2021 selepas berjaya menundukkan Sabah 3-0 pada aksi Kumpulan D yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandari Puteri, sebentar tadi.

Kemenangan berharga dicatatkan itu sekali gus mengekalkan rekod bersih skuad tuan rumah yang turut menang pada tiga perlawanan awal sebelum ini.

JDT yang merupakan juara edisi 2019 tidak menunggu lama untuk menggembirakan para penyokong setia apabila Leandro Velasquez menghadiahkan jaringan pendahuluan seawal minit keenam.

Leandro pantas melakukan percubaan terus selepas beliau menerima umpanan dalam kawasan penalti daripada Bergson Gustavo Da Silva yang hanya mampu dipandang penjaga gol Sabah, Rozaimie Rohim untuk meletakkan JDT di hadapan.

Sabah yang kelihatan bergelut untuk memberikan saingan hebat pada perlawanan ini bagaimanapun hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-26.

Ia berikutan rembatan dari luar kawasan penalti dilakukan Amri Yahyah menuju cantik ke gawang JDT yang dikawal Farizal Marlias tetapi percubaan tersebut hanya sedikit melewati palang.

JDT melebarkan kedudukan berselang lapan minit kemudian apabila Bergson mudah menyempurnakan sepakan penalti yang dihadiahkan pengadil perlawanan, Zulkarnain Zakaria susulan bola hantaran Corbin-Ong terkena tangan Ummareng Bacok.

Bergson terlepas peluang terbaik untuk menambah jaringan ketiga pada minit ke-38 selepas percubaannya ketika berjaya melepasi Rozaimie diselamatkan di atas garisan oleh Gerald Gadit.

Aksi di babak kedua turut menyaksikan penguasaan sepenuhnya skuad kendalian Benjamin Mora itu tetapi peluang terbaik dimiliki Safawi Rasid berjaya ditepis keluar manakala percubaan Leandro dan Akhyar Rashid pula singgah di palang dan tiang gol.

Safawi turut mensia-siakan peluang keemasan apabila sepakan penalti yang cukup santai diambil oleh beliau pada minit ke-90 mudah ditangkap Rozaimie.

Bergson sekali lagi meletakkan nama selaku penjaring selepas tandukannya susulan sepakan percuma pada masa kecederaan memastikan kemenangan 3-0 dicatatkan skuad Harimau Selatan itu.