Penjaga gol berkelas dunia, Thibaut Courtois mengakui bahawa mereka tidak layak untuk digelar sebagai ‘Generasi Emas’ Belgium susulan pencapaian memalukan dalam kempen Piala Dunia 2022 di Qatar.

Courtois berpendapat sedemikian bukan sahaja kerana Belgium tersingkir di peringkat kumpulan, malam tiada sebarang kejuaraan dapat diberikan dengan skuad yang terdiri daripada Kevin De Bruyne, Romelu Lukaku, Eden Hazard dan ramai lagi itu.

Malah, pencapaian terbaik yang mampu dijelmakan oleh generasi ini adalah mendapat tempat ketiga Piala Dunia 2018 manakala perjalanan ketika edisi 2014 pula terhenti di suku akhir.

Manakala bagi aksi di pentas kejuaraan Eropah pula Belgium hanya mampu melangkah ke suku akhir pada edisi 2016 dan 2020.

“Dalam Piala Dunia ini dan Euro, kami tidak menjadi diri sendiri [ketika beraksi]. Ia agak memalukan,” ujar Courtois menurut laporan Goal.

“Kita akan melihat apa yang bakal berlaku selepas ini, siapa yang akan kekal, siapa yang akan digugurkan. Bola sepak, ia memang berjalan dengan pantas.”

“Pada bulan Mac, sudah ada perlawanan kelayakan untuk kejuaraan Eropah [2024 di Jerman]. Sukar untuk memanggil diri anda sebagai ‘Generasi Emas’ apabila anda tidak langsung memenangi apa-apa kejuaraan.”

“Kami bukan generasi emas, kami adalah generasi yang mempunyai bakat dan pemain hebat dari seluruh Eropah. Kami menunjukkannya di Rusia 2018 bahawa kami adalah Belgium yang bermain bola sepak dengan bagus,” tambah Thibaut Courtois lagi.

Selepas berakhirnya tiga perlawanan peringkat kumpulan dalam Piala Dunia 2022, The Red Devils hanya mampu mencatatkan satu kemenangan (1-0 bertemu Canada), satu keputusan seri tanpa jaringan dengan Croatia dan mengalami satu kekalahan ketika menentang Maghribi untuk pulang ke Brussels atau kelab masing-masing dengan lebih awal daripada jangkaan.

 

 

Sumber