Keputusan seri tanpa jaringan bertemu Belgium pada aksi yang berlangsung di Ahmed Bin Ali Stadium, sebentar tadi sudah cukup buat finalis edisi lalu, Croatia untuk melangkah ke pusingan 16 kempen Piala Dunia 2022.

Keputusan tersebut juga sekali gus membolehkan skuad kendalian Zlatko Dalic itu ‘menendang’ keluar Belgium daripada persaingan yang mana satu lagi slot daripada kumpulan F menjadi milik Maghribi selaku juara kumpulan.

Tidak banyak yang boleh diperkatakan berkenaan aksi kedua-dua pasukan pada babak pertama ekoran tiada sebarang percubaan tepat ke arah pintu gol lawan masing-masing dapat dijelmakan.

Croatia hampir dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-18 akibat kekasaran Yannick Carrasco terhadap Andrej Kamaric tetapi rujukan Video Assistant Referee (VAR) menafikannya kerana Kramaric terlebih dahulu berada dalam kedudukan ofsaid.

Aksi lebih menarik ditampilkan pada babak kedua dimana banyak peluang terbaik dicipta pemain Croatia dan Belgium dalam usaha mereka untuk memburu jaringan.

Percubaan pertama hadir pada minit ke-49 menerusi pemain gantian, Romelu Lukaku, bagaimanapun tandukannya selepas menerima hantaran Kevin De Bruyne dalam kawasan penalti ditangkap kemas Dominik Livakovic.

Seminit kemudian, giliran Matteo Kovacic pula mengancam kubu Belgium tetapi Thibaut Courtois lebih bersedia untuk menepis keluar percubaan dalam kawasan penalti itu.

Courtois terus diuji dengan rembatan dalam kawasan penalti oleh Marcelo Brozovic dan Luka Modric, namun beliau masih kental bertahan untuk menghalang gawangnya daripada dibolosi.

Lukaku berpeluang untuk mendapatkan jaringan kemenangan buat Belgium tetapi rembatan jarak dekat dilakukannya sekadar singgah di tiang gol ketika Livakovic hanya mampu melihat sahaja percubaan pada minit ke-60 itu.

Tidak cukup dengan itu, tandukan Lukaku berselang dua minit kemudian ketika Livakovic gagal untuk menumbuk keluar bola pula sekadar melewati palang gol.

Penyerang dengan fizikal sasa itu terus hampa pada lewat permainan apabila sentuhan pertamanya ketika menerima hantaran Thorgan Hazard kurang baik walaupun pintu gol sudah pun terbuka luas.

Kedudukan itu kekal hingga tamat perlawanan sekali gus menyaksikan Croatia menjadi naib juara kumpulan dan akan bertemu juara kumpulan E (antara Sepanyol, Jepun, Jerman dan Costa Rica).