Khidmat Carlos Manuel Queiroz yang cukup berpengalaman dalam kancah bola sepak antarabangsa telah ditagih skuad kebangsaan Qatar untuk membimbing negara tersebut sehingga Piala Dunia 2026.

Bakal mencecah usia 70 tahun pada 1 Mac nanti, Queiroz dipilih untuk menggantikan pengendali kelahiran Sepanyol, Felix Sanchez yang gagal membawa Qatar mara ke pusingan kalah mati Piala Dunia 2022 di laman sendiri tempoh hari ekoran tiga kekalahan berturut-turut dialami.

Malah, nasib sama dihadapi Queiroz apabila skuad kendaliannya, Iran turut tersingkir awal apabila tewas 0-1 kepada Amerika Syarikat pada aksi terakhir ketika mereka hanya memerlukan keputusan seri untuk melangkah ke pusingan 16.

Ekoran dengan kegagalan tersebut, beliau mengambil tanggungjawab dengan melepaskan jawatannya dimana Queiroz telah membawa Iran beraksi di Piala Dunia sebanyak tiga kali berturut-turut (termasuk edisi 2014 dan 2018).

Kehadiran Queiroz menyertai skuad tersebut telah disahkan menerusi satu pengumuman di laman sosial rasmi Persatuan Bola Sepak Qatar (QFA).

“Rasmi, Carlos Queiroz merupakan ketua jurulatih baharu buat Al-Annabi [merujuk kepada nama panggilan skuad kebangsaan Qatar].”

“Kami mendoakan yang terbaik buat jurulatih kelahiran Portugal yang bersama skuad kebangsaan,” ujar QFA dalam kenyataan di laman Twitter.

Selain bersama Iran, Queiroz turut pernah membimbing Afrika Selatan sehingga berjaya melayakkan negara tersebut ke Piala Dunia 2002 tetapi beliau meletakkan jawatan sebelum aksi di Korea Selatan dan Jepun itu berlangsung.

Beliau turut bergelar ketua jurulatih buat Emiriah Arab Bersatu [1998-1999], Portugal [2008-2010], Colombia [2019-2020] dan Mesir pada 2021 hingga 2022 sebelum kembali bersama Iran.

Manakala di peringkat kelab pula, beliau pernah menjadi pengurus Real Madrid yang ketika itu dibarisi bintang dunia seperti Zinedine Zidane, Ronaldo, Luis Figo dan David Beckham selama semusim [2003-2004].