Follow Untuk Isu-isu Viral Kemaskini Terkini

Kapten Selangor, Brendan Gan antara nama yang kembali dipanggil untuk menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan bagi menghadapi dua perlawanan antarabangsa pada kejohanan jemputan 48th King’s Cup 2022 di Chiang Mai, Thailand pada 22 dan 25 September 2022.

Artikel Berkaitan:

Selain Brendan beberapa pemain lagi termasuklah bakat muda berkualiti diberikan peluang oleh Kim Pan-gon untuk membuktikan kemampuan mereka iaitu Rahadiazli Rahalim, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi, Azam Azmi Murad, Mukhairi Ajmal Mahadi, Sharul Nazeem Zulpakar, Zhafri Yahya dan Declan Lambert.

Manakala, 17 orang pemain yang mengganggotai skuad negara pada Kelayakan Piala Asia 2023 tempoh hari masih lagi dikekalkan oleh pengendali kelahiran Korea Selatan itu.

Pemain yang dimaksudkan ialah Shahrul Mohd Saad, Corbin-Ong, Nazmi Faiz Mansor, Arif Aiman Hanapi, Safawi Rasid, Akhyar Rashid, Mohamadou Sumareh, Matt Davies, Syafiq Ahmad (JDT), Nor Azam Azih (Sri Pahang), Faisal Halim (Terengganu), Ahmad Syihan Hazmi, Khuzaimi Piee (Negeri Sembilan), V. Ruventhiran, Darren Lok (PJ City), Dominic Tan (Sabah) dan Dion Cools.

Sementara itu seramai 16 pemain telah diletakkan dalam Senarai Bersedia, jika terdapat perubahan dalam senarai 25 pemain tersebut.

Senarai Bersedia. Kredit Foto: Persatuan Bolasepak Malaysia

Skuad kebangsaan akan turun menjalani latihan pusat di Wisma FAM, Kelana Jaya dari 16 hingga 19 September 2022, sebelum berlepas ke Chiang Mai untuk berdepan tuan rumah, Thailand bagi hari perlawanan pertama pada Khamis, 22 September 2022, jam 8.30 malam (9.30 malam waktu Malaysia) di Stadium 700th Anniversary of Chiang Mai.

Satu lagi perlawanan menemukan Trinidad & Tobago dan Tajikistan akan berlangsung di stadium sama, jam 5.30 petang (6.30 petang waktu Malaysia).

Seterusnya bagi hari perlawanan kedua di venue yang sama pada Ahad, 25 September 2022, kedua-dua pasukan yang kalah perlawanan pertama akan beraksi perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat pada jam 5.30 petang (6.30 petang waktu Malaysia).

Manakala, dua pasukan yang menang perlawanan pertama akan bertemu di pada aksi final jam 8.30 malam (9.30 malam waktu Malaysia).