Ketua pasukan Selangor, Brendan Gan menegaskan beliau mahu fokus bersama pasukannya terlebih dahulu dalam usaha untuk kembali mendapatkan prestasi sebenar setelah pulih daripada kanser prostat.

Menurut perkongsian wartawan The Star, T.Avineshwaran, Brendan mahu mendapatkan minit permainan yang cukup dan beliau akan menilai sama ada beliau sudah bersedia untuk beraksi di pentas yang lebih besar.

“Saya mahu fokus bersama Selangor terlebih dahulu, meningkatkan prestasi dan mendapatkan minit permainan yang cukup. Apabila itu berlaku, kita akan lihat apa yang akan berlaku nanti,” katanya.

Pada masa yang sama, Brendan turut menjelaskan beliau telah diberikan tanggungjawab untuk beraksi di beberapa posisi dan pemain berusia 34 tahun itu menyambut baik tugasan yang telah diberikan oleh ketua jurulatih, Michael Feichtenbeiner.

“Selama beberapa bulan sebelum perlawanan ini (menentang Sarawak United), saya telah diberikan kepercayaan dengan beraksi di beberapa posisi berbeza ketika latihan dan aksi persahabatan.

“Untuk saya, saya perlu memastikan saya boleh memimpin ketika beraksi di posisi manapun. Saya mahu memastikan saya boleh beraksi di beberapa posisi. Menjadi pemain yang boleh menyesuaikan diri dengan apa saja taktikal,” tambahnya.

Selepas aksi menentang Sarawak United, tinjauan kami di laman media sosial, rata-rata peminat teruja apabila Brendan kembali beraksi secara kompetitif dan memuji kecekalan serta semangat juang pemain itu yang berjaya melawan kanser, selain pernah mengalami kecederaan Anterior Cruciate Ligaments (ACL) sebanyak dua kali sebelum ini.

Ramai yang masih terkenangkan prestasi Brendan Gan ketika aksi pusingan kedua saingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Indonesia, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Thailand dimana beliau menjadi pemain penting skuad negara yang dibimbing oleh Tan Cheng Hoe ketika itu sebelum saingan terpaksa dihentikan ekoran pandemik COVID-19 dan Brendan disahkan menghidap kanser prostat.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia musim 2022 di sini:

Omar Raiyan Dipanggil Sertai Kem Latihan Pusat Skuad B-19 Tahun Negara

Jordan Mintah Sertai Kuala Lumpur City

Balachandran Dilantik Sebagai Ketua Jurulatih Baharu Sarawak United