Ketua jurulatih skuad B-23 tahun negara, Brad Maloney berasa terkilan kerana pasukannya tidak dapat turun beraksi menentang Myanmar pada aksi pembukaan kumpulan B hari ini.

Myanmar terpaksa menarik diri dari saingan edisi kali ini kerana majoriti pemain mereka disahkan positif COVID-19 sekaligus tidak mempunyai pemain yang mencukupi untuk terus bersaing.

“Dengan dukacita dimaklumkan bahawa pasukan bawah 23 tahun Myanmar terpaksa menarik diri dari kejohanan AFF B-23 Tahun. Kami memahami pasukan Myanmar teruja untuk memulakan kempen dan penyokong mereka untuk menyaksikan pasukan beraksi.

“Bagaimanapun, kepentingan tahap kesihatan dan keselamatan semua yang terlibat lebih utama, kami faham dengan keputusan yang telah diambil ini. Kami harapkan semua yang terlibat akan sembuh dengan cepat,” kata Presiden Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF), Major General Khiev Sameth.

Walaupun pasukan Myanmar telah menjalani ujian saringan sebelum dan selepas tiba di Kemboja, bilangan kes positif dalam skuad negara itu semakin ramai dan keputusan menarik diri diambil untuk meminimakan risiko jangkitan.

Brad Maloney nyata kecewa kerana pasukannya tidak dapat beraksi kerana beliau mahu para pemain beraksi dalam sekurang-kurangnya dua perlawanan di peringkat kumpulan.

“Pasti bagus untuk kami sekiranya kita beraksi dalam satu atau dua perlawanan. Namun perkara ini sudahpun berlaku. Kami perlu melangkah ke depan dan fokus untuk perlawanan menentang Laos,” kata Brad.

Juara bertahan, Indonesia terlebih dahulu menarik diri ekoran beberapa pemain yang disahkan positif COVID-19 dan saingan kumpulan B hanya berbaki tiga pasukan iaitu Malaysia, Laos dan Myanmar.

Setelah Myanmar menarik diri sebelum memulakan aksi menentang Malaysia, kini persaingam untuk mendapat tempat di peringkat separuh akhir hanya melibatkan Malaysia dan Laos dan pasukan negara dilihat mempunyai peluang yang cerah untuk mara.

Skuad B-23 tahun Singapura juga sedang berdepan dengan krisis COVID-19 dimana sebelum perlawanan pembukaan menentang Thailand ada tiga pemain disahkan positif.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan AFF B-23 Tahun di sini:

TERKINI: Myanmar Sah Tarik Diri Dari Kejohanan AFF U23 Akibat Jangkitan COVID19, 3 Mata Percuma Untuk Malaysia?

Piala AFF B-23: Seorang Lagi Positif COVID-19, Malaysia Teruskan Kempen Dengan 27 Pemain

Aiman Afif Dilantik Sebagai Ketua Pasukan Skuad B-23 Tahun Negara