Kelab Bundesliga, Borussia Dortmund meneruskan rentak kemenangan dalam jelajah Asia apabila menewaskan juara Liga Super 9 kali, Johor Darul Ta’zim 4-1 di Stadium Sultan Ibrahim hari ini.

Dalam perlawanan ini, Harimau Selatan menurunkan 7 pemain yang beraksi di final TM Piala Malaysia 2022 menentang Selangor pada hari sabtu lepas sambil diperkuatkan oleh Jordi Amat, Hong Wan, Syafiq Ahmad dan Nazmi Faiz.

Manakala Dortmund menurunkan beberapa pemain muda tanpa tonggak utama yang terlibat dengan saingan Piala Dunia 2022 di Qatar.

Bagaimanapun, skuad kendalian Edin Terzić itu terlebih dahulu membuka akaun jaringan menerusi Justin Njinmah seawal minit ke 11 selepas merembat masuk bola yang terkena tiang dalam situasi kelam kabut dalam kawasan kotak penalti.

Malah, 10 minit kemudian Dortmund juga nyaris menambah dua gol menerusi penyerang prolifik dari Belanda, Donyell Malen dan Jayden Braaf  namun percubaan mereka tersasar.

Pada minit ke 30, Malen akhirnya menebuskan kesilapan itu apabila menjaringkan gol kedua untuk Dortmund menerusi rembatan dari luar kotak penalti yang mudah menewaskan penjaga gol JDT, Farizal Marlias.

Tidak banyak percubaan berbahaya dilakukan oleh JDT dan situasi itu memaksa pengendali pasukan, Hectro Bidoglio melakukan pertukaran pemain dengan memasukkan Safiq Rahim bagi menggantikan tempat Afiq Fazail di posisi tengah.

Stadium Sultan Ibrahim kembali bergema dengan sorakan penyokong JDT pada minit ke 40 apabila Arif Aiman menjaringkan gol pertama menerusi rembatan leret selepas merampas bola daripada pemain pertahanan Dortmund.

Jaringan itu memberikan semangat tambahan kepada pemain JDT untuk terus mencari gol penyamaan namun keputusan 2-1 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki separuh masa kedua, Dortmund bangkit dengan lebih garang dan memaksa benteng pertahanan JDT bekerja keras mengekang asakan jentera serangan lawan.

Usaha Dortmund mengandakan asakan membuahkan hasil apabila pemain muda, Ole Pohlmann menambah gol ketiga pada minit ke 60 selepas memperdayakan benteng pertahanan JDT.

Arif Aiman berpeluang menambah gol keduanya dalam perlawanan ini namun rembatannya tidak menemui sasaran. Malah, Akhyar juga gagal menyudahkan peluang terhidang dalam situasi ‘1 on 1’ berdepan penjaga gol Dortmund walaupun gawang gol sudah terbuka luas.

Ketika JDT sedang rancak melancarkan serangan, Dortmund melakukan serangan balas lalu disudahkan dengan rembatan kencang Samuel Bamba menewaskan Farizal Marlias dalam kotak penalti untuk gol keempat pada minit ke 68.

Kemasukan Moussa Sidibe banyak membantu merancakkan serangan JDT namun benteng pertahanan Dortmund beraksi cemerlang menafikan beberapa percubaan tuan rumah.

Keputusan 4-1 kekal sehingga tamat perlawanan dan ini adalah kemenangan kedua kelab Jerman itu menentang pasukan Asia Tenggara selepas membelasah kelab Singapura, Lion City Sailors, 7-2 tiga hari lepas.

@curvaproject

JDT vs BVB via VIP seats #fyp #JDT #BVB #dortmund

♬ original sound – curvaproject – curvaproject

Terima kasih kepada PUMA Malaysia kerana memberi peluang kepada kami untuk berada di dalam tempat duduk VIP Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor.