Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) memutuskan mereka tidak akan menghukum pemain dan pegawai pasukan meskipun bergaduh ketika perlawanan akhir menentang Thailand di temasya Sukan SEA 2023.

Menurut perkongsian Asean Football, Presiden PSSI iaitu Erick Thohir berkata pihaknya tidak akan mengenakan hukuman kepada pemain atau pegawai pasukan.

“Kenapa kita nak hukum diri sendiri. Sudah pasti ada perkara yang boleh dibetulkan. Ada tindakan provokasi yang boleh kita terima, ada yang tidak,” kata Erick Thohir.

Berbeza dengan Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT), badan itu telah menjatuhkan hukuman terhadap beberapa pemain yang dianggap menjadi punca terhadap pergaduhan besar yang berlaku ketika aksi final Sukan SEA 2023 menentang Indonesia.

FA Thailand telah menjatuhkan hukuman penggantungan selama setahun daripada tugasan terhadap Prasadchok Chokmoh (jurulatih penjaga gol) dan dua kakitangan pasukan, Mayed Madada dan Patrawut Wongsripuek.

Sementara itu, Sophonwit Rakyath dan Teerapak Pruengna pula digantung selama enam bulan daripada tugasan bersama skuad kebangsaan Thailand.

“Dalam hal ini, kami ingin memaklumkan anda bahawa jawatankuasa tatatertib akan ditubuhkan untuk menyiasat secara menyeluruh semua individu yang memainkan peranan dalam memulakan dan/atau terlibat dalam insiden tersebut.”

“Objektif jawatankuasa ini adalah untuk mengumpul fakta dengan pantas dan mengambil tindakan sewajarnya mengikut peraturan yang ditetapkan oleh persatuan.”

“Selain itu, tiada perlindungan atau keistimewaan diberikan kepada sesiapa yang bertanggungjawab atas sebarang salah laku dalam kejadian ini. Hasilnya, prosedur penyiasatan akan dimulakan dengan segera selepas pasukan itu kembali ke Thailand.