Bekas jurulatih skuad bawah 21 tahun (B-21) Sepanyol, Gabino Rodriguez tampil mempertahankan David De Gea dan berpendapat penjaga gol Manchester United itu tidak harus dipersalahkan susulan kegagalan Manchester United menjulang trofi pada musim 2020/21.

De Gea mendapat kritikan hebat selepas beliau gagal menyempurnakan sepakan penalti penentuan pada aksi final Liga Europa musim ini bertemu Villarreal sehingga menyebabkan The Red Devils terus kempunan untuk meraih kejayaan buat musim keempat berturut-turut.

Selain itu, Manchester United menamatkan kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini di tangga kedua, terkandas di peringkat separuh akhir Piala Carabao serta suku akhir saingan Piala FA.

Di sebalik aksi turun naik ditampilkan De Gea, Rodriguez masih yakin dengan bekas anak buahnya itu sebaliknya menyalahkan kelemahan jentera pertahanan United serta taktikal digunakan Ole Gunnar Solskjaer.

“Saya selalu percaya bahawa cerminan sebenar pasukan adalah merupakan karakter ditampilkan jurulatihnya. Lihat Manchester United ketika dipimpin Sir Alex Ferguson dan mereka langsung tidak menunjukkan belas kasihan.”

“Pasukan [dibimbing] oleh Ole ini lebih lembut daripada ‘muffin’ dan David jelas terkesan dengan kelemahan ditunjukkan oleh barisan pemain pertahanan,” ujar Rodriguez menurut laporan Goal.

“Anda perlu melindungi aset terbaik anda [merujuk David De Gea] yang berada dalam pasukan, tetapi hanya kerana ada kekacauan yang tidak terkawal di antara pemain tengah dan pertahanan.”

“Pada dasarnya skuad kendalian Ole ini memiliki kelebihan di posisi pertahanan yang sangat teruk. Kedua-dua bek tengah terlalu lambat, mereka tidak berwibawa dan pasukan-pasukan lain menyedari perkara tersebut,” tambah beliau lagi.

Menyertai Manchester United pada musim 2011/12, De Gea telah menjulang trofi Liga Perdana Inggeris 2012/13, Liga Europa 2016/17, Piala FA 2015/16 dan Piala Carabao 2016/17.

Baca artikel lain dari kami mengenai David De Gea:

UEL: Penalti De Gea Tak Masuk, Unai Emery Cipta Sejarah Unggul Bersama Villarreal

Luis Enrique: De Gea Tak Salah!

Man United Iklankan Jawatan Kosong Penganalisis Penjaga Gol Kerana De Gea?

Sumber