Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Jurulatih berpengalaman, Mohd Azraai Khor Abdullah menganggap pertarungan sengit empat penjuru pasukan Liga Super 2021 menjadikan saingan Liga Malaysia musim ini lebih menarik untuk disaksikan selain turut berada di kelas yang tersendiri.

Berakhir 11 perlawanan setakat ini, empat pasukan teratas liga masing-masing hanya dibezakan satu mata membabitkan Johor Darul Ta’zim (JDT), Kedah Darul Aman FC, Penang FC dan Terengganu FC menyaksikan jurang kedudukan mereka tidak terlalu besar berbanding musim lalu.

JDT berjaya meraih 29 mata pada musim 2020 selepas 11 perlawanan meninggalkan Kedah di tangga kedua dengan perbezaan 7 mata manakala Terengganu FC di kedudukan ketiga dengan 19 mata.

Melihat perbandingan tersebut, Azraai yang juga bekas pengendali Kedah ini menyifatkan pasukan musim 2021 kini semakin menunjukkan peningkatan positif untuk memberikan persaingan yang lebih sengit antara satu sama lain selain turut memperlihatkan kemunculan pemain-pemain muda yang berkualiti untuk pamer kejutan.

“Bagi saya, tahun 2021 adalah musim yang cukup positif untuk meletakkan Liga Malaysia ini di standard yang lebih tinggi kerana sebelum ini jurang antara pendahulu liga dan kedudukan kedua agak jauh, tetapi sekarang sudah berbeza.

“Sekurang-kurangnya kita dapat lihat saingan juga semakin sengit disebabkan mereka hanya dibezakan satu mata dan ia akan menjadi lebih menarik untuk kita lihat aksi mereka selepas ini.

“Bukan itu sahaja, pemain-pemain muda juga semakin menunjukkan belang mereka seperti pemain Kedah, Fayadh Zulkifli dan Hakimi Abdullah (Terengganu FC), bagaimana mereka bagi impak kepada pasukan juga turut menjadi bualan,” jelasnya yang pernah membimbing Lang Merah sehingga melakar sejarah mencipta kejuaraan treble pada musim 2007 dan 2008.

JDT ketika ini kekal berada di takhta liga dengan 24 mata diikuti Kedah di tangga kedua dengan 23 mata.

Penang FC yang berjaya meraih kemenangan ke atas skuad kendalian Nafuzi Zain minggu lalu meletakkan mereka di kedudukan ketiga selepas mengumpul 22 mata manakala Terengganu FC di tangga keempat dengan 21 mata.

Dalam pada itu, Azraai turut berharap Perak FC dapat bangkit selepas terus dirudum kekalahan meletakkan mereka di tangga ketiga tercorot dengan hanya sembilan mata ketika ini.

“Apa yang saya boleh katakan ketika melihat pemain-pemain Perak beraksi terutamanya sewaktu menentang Sabah tempoh hari adalah mereka bukanlah pemain Perak yang pernah kita kenal sebelum ini.

“Mereka seolah-olah tiada motivasi di atas padang dan saya harap sesuatu dapat dilakukan oleh mereka selepas ini untuk lebih konsisten,” tambah Azraai Khor lagi.

Kedah dan JDT akan melakukan perhitungan di Stadium Darul Aman, pada malam esok selain Kuala Lumpur City FC akan menentang Penang FC manakala Terengganu FC akan melayani kunjungan UiTM FC.

Anda Mungkin Suka

© 2021 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group