Bekas pengendali skuad Harimau Muda A, Azraai Khor Abdullah menegaskan saingan Liga M3 atau Piala Presiden lebih sesuai untuk skuad Projek FAM-MSN berbanding saingan Liga Perdana.

Azraai berkata demikian setelah skuad Projek FAM-MSN dibelasah Sarawak United dengan keputusan 7-1 dan kekalahan terbaru ini menjadi petunjuk bahawa skuad muda yang dibimbing oleh Yusri Che Lah sukar untuk bersaing di Liga Perdana.

Azraai Khor Abdullah
Sumber Gambar: MFL

“Mana boleh pasukan itu nak bersaing dengan pasukan profesional di Liga Perdana. Saingan Liga Perdana adalah tinggi di mana pasukan-pasukan banyak gunakan pemain import yang bagus-bagus dan berkualiti.

“Macam mana budak-budak itu nak bersaing dengan pemain profesional. Sama lah juga dulu, masa saya bawa Harimau Muda A main di Slovakia main dalam divisyen dua di sana, memang susah nak menandingi mereka.

“Saya rasa tak terlambat lagi, daripada main Liga Perdana bagi mereka main dulu di Liga M3 atau Piala Presiden. Di situ lebih sesuai buat mereka daripada dibiarkan hingga semangat pemain pun luntur,” kata Azraai Khor Abdullah menurut laporan Harian Metro.

Setakat ini, skuad Projek FAM-MSN belum mencatat sebarang kemenangan dan hanya mampu mengutip satu mata iaitu ketika seri pada perlawanan menentang Kuching City minggu lalu.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia di sini:

Tim Heubach Berehat Panjang, Bakal Jalani Pembedahan Dalam Masa Terdekat

Penyokong Newcastle Jets Berang Liridon Tidak Diturunkan Dalam Kesebelasan Utama

3 Bulan Tidak Dibayar Gaji, Pemain Sabah Boikot Sesi Latihan