Pengendali baharu Sri Pahang FC, Dollah Salleh melihat tuah nyata memihak skuad kendaliannya sehingga mampu meraih kemenangan 2-0 ke atas Selangor pada aksi ke-12 Liga Super Malaysia 2022, malam tadi.

Tiga mata penuh yang berjaya diraih di Stadium Darul Makmur, Kuantan itu merupakan aksi liga serta kemenangan pertama buat Dollah Salleh selepas beliau kembali membimbing pasukan tersebut bermula 21 Julai lalu.

Kemenangan berharga itu hadir hasil dua jaringan dalam tempoh masa lima minit menerusi sumbangan Andres Steven Rodriguez Ossa (minit ke-34) dan Abdul Malik Mat Ariff (minit ke-39).

“Syukur Alhamdulillah kita dapat kemenangan selepas lima perlawanan tanpa kemenangan, jadi hari ini [malam tadi] memang kiranya tuah memihak kepada kita,” ujar Dollah bercakap dalam sidang media selepas perlawanan.

“Kalau tengok pada perlawanan malam ini memang bukannya kita bermain dengan begitu baik, kita main biasa sahaja jika nak dibandingkan dengan aksi menentang Penang (suku akhir Piala FA) dimana separuh masa pertama kita bermain dengan baik, jauh berbeza.”

Kredit Foto: Malaysian Football League

“Tetapi hari ini tuah dengan kita. Cuma satu yang saya puji para pemain nampak mereka berdisiplin dalam bertahan dan disiplin ketika memberikan sokongan untuk menyerang.”

“Di situlah nampaknya keseluruhan semua bekerjasamal, itu yang menjadi punca kepada kemenangan pada malam ini.”

“Itulah sedikit kita tahu kekuatan yang ada pada Selangor FC di bahagian tengah dan memang kita buat perancangan macam mana nak menyekat dan hari ini nampaknya apa yang kita rancang menjadi.”

”Tetapi banyak juga berlaku kesilapan-kesilapan, cuma itulah yang saya katakan tuah hari ini memang bersama kita. Apa sekalipun perancangan kita memang 70 hingga 80 peratus berjaya menyekat mereka.”

Dengan kemenangan ketiga yang dilakarkan, Sri Pahang mengumpul 11 mata bagi melonjak dua anak tangga untuk berada di kedudukan kesembilan bagi menolak PJ City FC dan Sarawak United yang mengalami kekalahan.

Sementara itu, Selangor pula menghuni tangga keenam dengan 16 mata hasil empat kemenangan, empat keputusan seri dan empat kekalahan setakat ini.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak seluruh dunia melalui pautan dibawah.

Neville Desak De Jong Heret Barcelona Ke FIFA Kerana Tak Bayar Gaji Dan Membulinya

AFF Wanita B-18: Kok Keng Lin Akui Hakikat Australia Jauh Lebih Baik Daripada Malaysia

Sri Pahang Tagih Kepakaran Dollah Salleh, Fandi Ahmad