Taktikal Thailand yang sangat baik dari segi fluiditi dan fleksibel menjadi kunci utama mereka mengatasi Malaysia dalam aksi kedua.

Malaysia tewas 3-0 di tangan Thailand dalam aksi separuh akhir kedua Piala AFF 2022. Bermakna cabaran Malaysia dalam kempen Piala AFF 2022 berakhir di bumi Thailand.

Permulaan

Kim Pan-gon memulakan perlawanan ini dengan sistem 4-2-3-1. Tiada Safawi Rasid dalam kesebelasan utama. Faisal menjadi pemain penyerang kedua.

Sementara Thailand pula dengan sistem yang mirip dengan apa yang mereka gunakan di Bukit Jalil. Formasi asas 4-5-1 namun akan berkembang secara fleksibel sama ada membentu 4-1-3-2 ataupun 4-4-1-1 dengan Sarach Yooyen ataupun Theraton Bunmathan yang banyak bertukar peranan.

Malaysia bermula dengan pendekatan yang salah

Malaysia memulakan separuh masa pertama dengan pendekatan yang silap atau teruk sekali.

Mereka cuba bermain dengan defensif namun melakukan banyak kesilapan di bahagian tengah dan pertahanan.

Malaysia memberikan Thailand terlalu banyak ruang.

Misalnya pada gol pertama Thailand, tiada pemain mengenakan tekanan kepada penghantar hantaran lintang. Dan tiada pemain yang mengekori / track back Teerasil Dangda.

Dangda adalah penyerang paling prolifik dalam sejarah AFF maka tiada alasan untuk tidak mengenali gaya permainannya apatah lagi membiarkannya bebas.

Thailand intensif

Thailand bermain dengan sistem yang sama serta pendekatan taktikal yang sama seperti perlawanan pertama.

Mereka mungkin memberikan rehat lebih baik kepada pemain untuk pemulihan kerana tidak perlu memikirkan latihan tambahan untuk latihan taktikal.

Lihat sahaja cara mereka bermain. Stamina dan tenaga mereka sangat luar biasa berbanding dengan Malaysia.

Thailand lebih kreatif dan serba serbi tajam di final third.

Fleksibiliti dan fluiditi Thailand

Peranan Theraton yang seperti central winger juga menyukarkan Malaysia dalam perlawanan ini. Ini adalah gambaran jelas menunjukkan peranan Theraton sebagai central winger.

Posisi di mana pemain no.10 atau no.8 yang akan bebas bergerak ke tepi padang untuk mencipta peluang. Peranan yang popular dengan Mesut Ozil atau Angel Di Maria ketika di Real Madrid.

Ianya sebahagian daripada sistem permainan Thailand yang sangat fluid dan fleksibel di zon sokongan kepada Teerasil Dangda.

Ini adalah cara mereka melakukan overload di dalam kotak penalti Malaysia. Theraton masuk ke dalam kotak penalti di koridor half space.

Bordin Phala memberikan sokongan dari bawah / depth. Hemviboom pula menjadi extra man sebagai pemain pertahanan yang menyerang ke zon kotak penalti lawan.

Dalam situasi ini, Thailand memiliki angka numerikal yang bagus untuk memenangi sebarang bola pertama atau kedua.

Fleksibiliti ini yang tak ada pada pemain pemain Malaysia. Ini kerana Malaysia tidak mendapat rentak dan gugup.

Thailand bermain dalam sistem yang sangat baik. Pemain pemain mereka sangat semulajadi dalam gerakan dan pertukaran ruang formasi dan peranan.

Malaysia gugup

Tidak pasti kenapa masalah gugup ini tiba tiba menghantui pasukan Malaysia?

Sejak dari minit pertama, Malaysia bermasalah dengan kawalan bola, hantaran, malah seringkali tergelincir.

Statistik ini sakit untuk dicerna. Hantaran yang sedikit dengan peratusan di bawah 71% dalam bola sepak dianggap tidak cukup bagus.

Malaysia kemudian cuba bermain dengan sistem hantaran jauh yang melangkau tengah / bypass central area. Namun sangat menghampakan. Bola tak sampai dan tidak jelas apa yang mereka cuba lakukan.

Ini kerana fokal taktikal Malaysia adalah Faisal Halim yang berbadan kecil. Thailand memiliki kelebihan dari segi fizikal untuk duel. Seperti yang saya tulis di atas, mereka secara fizikal sangat baik dan cergas.

Rumusan

Sebelum ini Mano Polking ada menyatakan bahawa, ketika mereka kalah di Malaysia, berita baiknya, mereka ada peluang untuk bangkit kerana format pertandingan yang ada timbal balik.

Ini kerana menurut beliau, jika mereka terus tersingkir, ianya sukar untuk mereka terima kerana mereka tampil dengan taktikal yang sangat dominan dan fluiditi yang tinggi oleh Thailand.

Mereka mengekalkan prinsip dan perlaksanaan taktikal yang sama, dan menambah baik aspek ketajaman di hadapan gol.

Malaysia pula, menjadi yang kedua terbaik dalam setiap aspek taktikal dan teknikal di atas padang.

Apapun ianya kempen yang baik daripada Malaysia. Mara sehingga ke separuh akhir. Cuma kita yakin sebenarnya, Malaysia boleh melakukan lebih baik daripada aksi di Thailand ini.