Impian Malaysia untuk mara ke perlawanan akhir Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 tidak kesampaian selepas tunduk 0-3 ditangan Thailand pada aksi separuh akhir kedua yang berlangsung sebentar tadi.

Kemenangan penting dengan agregat 1-3 dilakarkan itu memastikan aksi final ke-10 buat Thailand sejak kejohanan serantau tersebut mula dipertandingan pada 1996.

Perlawanan di Stadium Thammasat, Pathum Thani itu menyaksikan Kim Pan-gon meletakkan membariskan kembali Azam Azmi Murad, Fazly Mazlan, Mukhairi Ajmal Mahadi dan Mohd Nor Hakim Hassan di kesebelasan utama.

Manakala peluang beraksi di laman sendiri dan mendapat sokongan padu penyokong setia jelas meningkatkan semangat barisan pemain Thailand untuk mempamerkan aksi terbaik mereka.

Ia jelas dibuktikan apabila Thailand mendominasi sebahagian besar permainan untuk mengancam kubu skuad Malaysia yang dikawal Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.

Kecemerlangan Syihan yang menafikan dua percubaan bahaya dijelmakan Thailand pada minit ke-15 dan 17 terhenti berselang dua minit kemudian apabila Teerasil Dangda melonjak tinggi untuk menanduk masuk  hantaran berkualiti daripada ketua pasukan, Theerathon Bunmathan.

Kredit Foto: Changsuek

Tersentak dengan jaringan tersebut, barisan pemain skuad negara tampil lebih baik dan hampir mengikat kembali kedudukan menerusi Darren Lok pada minit ke-36.

Bagaimanapun, tandukan Darren selepas menerima umpananan Mohd Nor Hakim Hassan dalam kawasan penalti berjaya ditangkap penjaga gol, Kampon Phatomakkakul.

Enam minit kemudian giliran Mukhairi Ajmal pula menguji gawang Thailand tetapi sepakan percuma yang diambil pemain muda itu lemah lalu mudah ditangkap Kampon.

Penyokong Thailand sekali lagi melonjak kegembiraan apabila Bordin Phala yang tidak dikawal dalam kawasan penalti meledakkan rembatan untuk menewaskan Ahmad Syihan pada minit ke-55.

Adisak Kraisorn yang dimasukkan pada awal babak kedua menambah duka skuad kendalian Kim Pan-gon selepas beliau menolak masuk bola susulan hantaran lintang dilakukan Ekanit.

Kedudukan 3-0 itu kekal hingga wisel penamat ditiupkan pengadil dari Jordan, Adham Mohammad Tumah Makhadmeh sekali gus menghentikan perjuangan skuad negara.